Diterbitkan pada 8 Jun 2026, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Ikhtiar bagi menyelamatkan makanan menerusi inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) diperluas dengan kerjasama Restoran Khidmat Segera (QSR) Brands (M) Holdings Berhad sebagai rakan strategik inisiatif i-FB menerusi projek bersama-sama dengan rangkaian restoran makanan segera di Malaysia, iaitu i-FB@KFC.

Menurut kenyataan media oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) , projek ini merupakan satu ikhtiar yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyelamatkan makanan untuk disumbangkan kepada komuniti yang memerlukan bermula dari negeri Sabah.

QSR Brands sebagai syarikat pemilik dan pengendali rangkaian restoran KFC di Malaysia menyelaraskan usaha mengumpulkan lebihan makanan yang tidak terjual dalam tempoh yang ditetapkan di restoran-restoran KFC dan menguruskannya agar kekal bersih, selamat dan berkualiti untuk pengagihan sebagai sumbangan.

Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) merupakan pendekatan baharu yang dirintis bermula bulan Disember 2025 bagi menggerakkan agenda transformasi dalam memperkukuh pelaksanaan Program Bank Makanan Malaysia.

Agenda transformasi ini menggariskan tiga komponen objektif inisiatif i-FB, iaitu “Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan”.

Sebagai permulaan, sebanyak 10 restoran KFC di Sabah akan terlibat dalam projek i-FB@KFC iaitu KFC Putatan, KFC Plaza Juta, KFC Papar, KFC Kinarut, KFC Benoni, KFC Tuaran, KFC Sepanggar, KFC Wawasan Plaza, KFC Emart Lintas dan KFC Bandaran KK Utara.

KPDN juga telah mengenal pasti rakan strategik daripada 10 NGO atau institusi yang akan bekerjasama terus dengan setiap restoran KFC yang terlibat untuk pengurusan dan pengagihan sumbangan makanan.

Projek i-FB@KFC akan diperluas melibatkan lebih banyak restoran KFC dan rakan strategik di seluruh negara.

Satu kajian yang pernah dikeluarkan oleh Food and Agriculture Organisation (FAO) mendapati sepertiga, iaitu bersamaan dengan 1.3 bilion tan metrik daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia dibazirkan begitu sahaja.

Inisiatif i-FB menekankan kepada usaha menyemarakkan nilai ihsan dan belas kasihan dalam kalangan masyarakat untuk bersama-sama dengan gerakan ini bagi membantu golongan sasar dalam menghadapi kos sara hidup khususnya dalam perbelanjaan makanan.

Melalui inisiatif I-FB, projek ini akan digerakkan secara lebih sistematik melibatkan QSR Brands, KPDN dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi lain bagi mengenal pasti kumpulan sasar penerima yang lebih meluas.

Antara peranan pihak NGO dan institusi yang terlibat dalam projek ini adalah menyimpan, mengedar atau memproses semula produk tersebut untuk diberikan kepada golongan sasar dalam tempoh tiga hari daripada tarikh pengambilan produk dari restoran KFC.

Pada masa yang sama, KPDN menyeru lebih banyak pihak untuk tampil menjadi rakan strategik rasmi dalam memperkasa pelaksanaan inisiatif i-FB.

Penyertaan boleh diajukan kepada Sekretariat i-FB yang diselaraskan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di bawah KPDN.

KPDN berharap usaha ini dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam memperluas pelaksanaan Inisiatif i-FB sekali gus menyemarakkan semangat kerjasama khususnya dalam membantu lebih ramai golongan sasar, mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat serta menangani isu pembaziran makanan secara berkesan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi