Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar − Usaha memperkasakan martabat Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus dipergiat bagi memastikan kredibiliti angkatan ini kekal dihormati oleh masyarakat.
Selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Tentera Darat 2021−2050 (Army4nextG), pengukuhan Rejimen Askar Wataniah pada masa ini dipacu secara lebih agresif bagi menyokong evolusi keupayaan Tentera Darat Malaysia.
Keberkesanan fungsi pembesaran pasukan melalui penambahan kekuatan angkatan bergantung sepenuhnya pada konsistensi latihan serta pemantapan konsep afiliasi, iaitu kerjasama bersepadu antara Angkatan Tetap dengan Angkatan Sukarela.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat ke Kem Bukit Keteri bagi meninjau perkembangan terkini Projek Pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di sana.
Keberangkatan baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertujuan untuk memantau kemajuan pembinaan prasarana logistik. Hal ini bagi memastikan kesiapsagaan kem ini untuk menerima kemasukan pelatih tidak lama lagi.

Skop kerja di kem ini melibatkan pembinaan blok penginapan pelatih dan penyediaan prasarana asas, kemudahan sokongan, tempat ibadat, serta kawasan sukan dan rekreasi.
Pembangunan Fasa 1 Kem Bukit Keteri dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan Jun 2026. Kem ini bakal beroperasi sebagai lokasi ketiga PLKN 3.0, selepas Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pahang.