Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
YOU + AI = YOUR FUTURE
Batu Caves – Dalam usaha memberikan pendedahan awal mengenai kepentingan teknologi masa hadapan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Amin Darul Musthofa (AADMS) telah menganjurkan program inspirasi bertajuk YOU + AI = YOUR FUTURE.
Program yang berlangsung di cawangan Batu Caves dan Elmina itu menyasarkan murid sekolah rendah berumur antara tujuh hingga 12 tahun bagi memahami peranan kecerdasan buatan (AI) dalam mencorakkan sektor pendidikan, kerjaya dan pembangunan negara.
Tumpuan utama program tersebut adalah bagi menyemai minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus membina keyakinan mereka untuk menjadi pemimpin dan inovator pada masa hadapan.
Program itu menampilkan penceramah jemputan, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi, pakar teknologi digital dan kecerdasan buatan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.
Melalui pendekatan interaktif, beliau mendedahkan bahawa AI kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian seperti dalam carian Internet, platform video, permainan digital dan peranti pintar.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kecanggihan AI tidak akan dapat menggantikan nilai hakiki seorang manusia.
“AI boleh menjadi alat yang hebat, tetapi manusia tetap mempunyai kelebihan yang unik. Masa hadapan akan dimiliki oleh mereka yang mampu menggunakan teknologi dengan bijak sambil mengekalkan nilai, akhlak dan kreativiti,” jelas beliau.
Beliau turut mengingatkan para murid agar tidak menjadikan AI sebagai “jalan pintas” untuk culas dalam pelajaran, sebaliknya memanfaatkan teknologi tersebut untuk meningkatkan kefahaman, memperkukuh kemahiran dan merangsang pemikiran kreatif.
Selain pendedahan aplikasi harian, murid turut diperkenalkan dengan pelbagai peluang kerjaya masa hadapan yang berasaskan teknologi. Mereka digalakkan untuk membina kemahiran penting seperti berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah serta berkomunikasi dengan berkesan sejak di bangku sekolah lagi.
Antara mesej utama yang ditekankan sepanjang program adalah anjakan paradigma murid untuk tidak sekadar menjadi pengguna, tetapi berpotensi bertindak sebagai pencipta teknologi pada masa hadapan menerusi inovasi yang bermanfaat.
Bagi memastikan perkembangan yang seimbang, program ini turut menitikberatkan aspek penggunaan AI secara bertanggungjawab dan beretika. Murid-murid diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan, menggunakan teknologi untuk tujuan kebaikan dan mengamalkan sikap amanah dalam setiap tugasan.
Secara keseluruhannya, program YOU + AI = YOUR FUTURE ini membuktikan bahawa masa hadapan tidak ditentukan oleh AI semata-mata, melainkan cara manusia memanfaatkan teknologi tersebut untuk mencipta perubahan positif kepada diri, masyarakat dan negara.