Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar teknologi yang digunakan oleh pakar sains komputer, malah perlu difahami, diterima dan dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan organisasi di Malaysia terus kekal relevan pada era ekonomi digital.

Menurut mantan Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi, usaha memasyarakatkan AI bermaksud menjadikan teknologi tersebut sebagai alat yang mampu memperkasakan manusia, meningkatkan produktiviti serta membantu menyelesaikan pelbagai cabaran dalam kehidupan dan dunia pekerjaan.

Beliau berkata, perkembangan pesat AI di seluruh dunia menjadikan penguasaannya sebagai satu keperluan strategik, bukan lagi pilihan.

“Organisasi yang memahami dan menguasai AI akan lebih bersedia menghadapi persaingan global kerana mampu membuat keputusan berasaskan data serta menawarkan perkhidmatan yang lebih pantas, tepat dan berkualiti. Sebaliknya, kegagalan memasyarakatkan AI hanya akan melebarkan jurang digital dan menyebabkan sebahagian masyarakat terus ketinggalan,” kata beliau.

Latihan dan pendedahan AI memperkasakan organisasi untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta ekonomi digital masa hadapan.

Menurut beliau, penggunaan AI mampu meningkatkan kecekapan sektor awam, swasta dan institusi pendidikan melalui automasi tugasan rutin, analisis data berskala besar serta penyediaan cadangan yang lebih tepat bagi menyokong proses membuat keputusan.

“Dalam sektor awam, AI berpotensi mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan. Bagi sektor swasta pula, teknologi ini membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing syarikat dalam pasaran global,” ujarnya.

Di institusi pengajian tinggi, AI membuka ruang kepada pembelajaran yang lebih diperibadikan, mempercepat penyelidikan dan merangsang penghasilan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Graduan yang menguasai AI lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta memacu transformasi digital negara.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa cabaran terbesar dalam pelaksanaan AI bukanlah aspek teknologi, sebaliknya faktor manusia.

“Masih ramai yang melihat AI sebagai ancaman kepada pekerjaan, sedangkan teknologi ini sebenarnya merupakan rakan kerja yang mampu meningkatkan keupayaan manusia. Cabaran lain termasuklah kekurangan bakat digital, infrastruktur data yang belum matang, kos pelaksanaan serta kesediaan organisasi untuk berubah,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa sistem AI hanya mampu menghasilkan keputusan yang berkualiti sekiranya disokong oleh data yang tepat dan boleh dipercayai. 

Oleh itu, organisasi perlu membangunkan budaya digital, menyediakan latihan secara berterusan serta dipimpin oleh kepimpinan yang mempunyai visi jelas terhadap penggunaan AI.

Mengulas kebimbangan masyarakat terhadap kehilangan pekerjaan akibat automasi, beliau berpandangan bahawa setiap revolusi teknologi sentiasa mengubah landskap pekerjaan, namun pada masa yang sama turut mewujudkan peluang kerjaya baharu.

Menurut beliau, organisasi perlu memberikan penekanan terhadap program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) supaya pekerja dapat bekerjasama dengan AI secara lebih berkesan.

Organisasi yang celik AI mampu meningkatkan produktiviti, mempercepat inovasi dan memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat.

“Pada masa hadapan, kemahiran seperti pemikiran kritikal, kreativiti, komunikasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan akan menjadi semakin bernilai. Persaingan sebenar bukan lagi antara manusia dengan AI, tetapi antara individu yang menguasai AI dengan mereka yang tidak menguasainya,” jelas beliau.

Dalam aspek tadbir urus pula, beliau menegaskan bahawa penggunaan AI perlu berpaksikan prinsip ketelusan, akauntabiliti, keadilan dan keselamatan.

Beliau berpandangan bahawa keputusan penting yang melibatkan manusia tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada sistem AI tanpa semakan oleh individu yang bertanggungjawab.

Di samping itu, organisasi perlu memastikan perlindungan data peribadi sentiasa diberi keutamaan, mematuhi undang-undang berkaitan serta mengelakkan berlakunya diskriminasi atau berat sebelah dalam pembangunan sistem AI.

Menyentuh peranan institusi pengajian tinggi, beliau berkata universiti perlu melahirkan graduan yang bukan sekadar celik AI, malah mampu membangunkan penyelesaian inovatif berasaskan teknologi tersebut.

Kata beliau, kurikulum perlu sentiasa disesuaikan dengan keperluan industri, disokong oleh penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik antara universiti, kerajaan dan sektor swasta.

Beliau turut menegaskan bahawa AI tidak lagi terhad kepada bidang sains komputer, sebaliknya menjadi keperluan dalam pelbagai disiplin termasuklah perniagaan, pendidikan, kesihatan, kejuruteraan dan sains sosial.

“Graduan masa hadapan perlu mempunyai gabungan kemahiran teknikal, kepimpinan dan nilai kemanusiaan supaya mereka mampu memimpin transformasi digital secara bertanggungjawab,” kata beliau.

Beliau berharap usaha memasyarakatkan AI dijadikan agenda nasional yang melibatkan kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat secara kolektif.

Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan dasar yang kondusif dan memperkukuh ekosistem inovasi, manakala industri perlu membuka lebih banyak ruang kolaborasi, latihan serta pemindahan teknologi.

Selain itu, masyarakat juga harus melihat AI sebagai peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran, bukannya sesuatu yang perlu ditakuti.

Menurut beliau, sekiranya pembangunan bakat, tadbir urus yang baik, pembelajaran sepanjang hayat dan ekosistem inovasi dapat diperkukuh secara konsisten, Malaysia berpotensi muncul sebagai antara peneraju ekonomi digital dan hab inovasi AI yang disegani di rantau ini.

 

 

Kredit Foto: Perpustakaan Dato Jaafar Hassan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi