Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pengambilan sebanyak 3,150 orang guru secara Contract of Service (COS) sebagai langkah proaktif bagi memastikan kesiapsiagaan tenaga pengajar dalam mendepani situasi dua kohort persekolahan pada tahun 2027.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan semalam, pelarasan angka pengambilan tersebut dibuat bersandarkan data pendaftaran dan keperluan sebenar di sekolah rendah.
“Pada asalnya, KPM menyasarkan pengambilan sebanyak 20,000 orang guru sekiranya keseluruhan unjuran 400,000 orang murid Kohort 6 Tahun mendaftar.
“Namun begitu, memandangkan jumlah pendaftaran terkini murid Kohort 6 Tahun merekodkan sebanyak 73,386 orang, jumlah lantikan 3,150 guru COS itu dilihat bertepatan untuk menampung keperluan mendesak di peringkat sekolah rendah pada masa ini,” jelas Yang Berhormat (YB) Wong Kah Woh dalam kenyataan beliau di laman Facebook miliknya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa inisiatif pengambilan khas ini sama sekali tidak akan menggantikan laluan profesional keguruan sedia ada yang kekal sebagai mekanisme utama perancangan sumber manusia KPM.
Dalam perkembangan berkaitan, KPM turut membawa khabar gembira berhubung status penempatan calon simpanan tahun 2025.
Pihak KPM kini sedang giat berusaha untuk memastikan baki calon simpanan yang tertangguh dapat ditawarkan lantikan seberapa segera yang mungkin.
Sebelum itu, terdapat sebanyak 4,417 orang calon simpanan yang direkodkan menerusi dua kumpulan, iaitu keluaran Julai dan Disember 2025.
Penangguhan lantikan sebelum ini tidak dapat dielakkan berikutan wujudnya faktor lebihan calon berbanding dengan kekosongan opsyen yang dipohon, terutamanya yang melibatkan opsyen Pendidikan Moral serta Bimbingan dan Kaunseling.
Menjelaskan status terkini kumpulan tersebut, YB Timbalan Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa sebanyak 857 orang calon telah pun dilantik dan melapor diri, manakala 20 orang lagi sedang berada dalam proses lantikan.
“Terkini sebagai berita baik, sebanyak 2,633 orang calon lagi akan mula menerima surat tawaran lantikan dalam masa terdekat. Bagi baki 907 orang calon yang masih terkesan dengan isu lebihan opsyen, KPM sedang giat mengusahakan jalan penyelesaian.
“Bagi calon yang tempoh simpanannya bakal tamat pada bulan Julai ini, lanjutan tempoh akan diberikan agar peluang mereka tidak terjejas,” jelas kenyataan tersebut.
Mengakhiri kenyataan itu, KPM menzahirkan penghargaan yang tinggi atas kesabaran para bakal guru dan memberi jaminan tegas bahawa kementerian akan terus melakukan yang terbaik demi memelihara kebajikan warga pendidik dan ekosistem pendidikan negara.