Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menegaskan bahawa urusan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) di negara ini tidak pernah dibuat berdasarkan sentimen politik, sebaliknya tertakluk sepenuhnya kepada syarat dan merit kelayakan yang berasaskan sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Adam Adli Abdul Halim tampil menepis dakwaan bahawa wujud laluan khas atau kelonggaran syarat tertentu bagi kemasukan ke UA, termasuklah yang melibatkan kelompok pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (Unified Examination Certification – UEC).

Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan tidak pernah menetapkan dasar yang membenarkan pemegang UEC diterima masuk secara automatik semata-mata bersandarkan kelayakan berkenaan. Sebaliknya, penerimaan tersebut perlu diteliti agar selaras dengan teras sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

“Kemasukan ke universiti tidak pernah berdasarkan sentimen politik atau selera masing-masing. Sebaliknya, terdapat syarat dan merit kelayakan yang wajib dipatuhi, terutamanya yang berlandaskan sistem pendidikan kita,” tegas beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Arau, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berhubung isu kemasukan pemegang UEC ke institusi pengajian tinggi awam.

Dalam perkembangan berasingan mengenai landskap kebolehpasaran pekerjaan, YB Adam Adli memaklumkan bahawa sebanyak 873,765 orang graduan warganegara Malaysia telah menamatkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Menurut rekod rasmi menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), corak penempatan pekerjaan memperlihatkan unjuran yang positif, khususnya daripada aspek lonjakan peratusan graduan dalam sektor pekerjaan mahir.

“Kadar graduan bekerja terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan daripada 90.9 peratus pada tahun 2023 kepada 92.5 peratus pada 2024.

“Selain itu, kita turut melihat peningkatan dari sudut kualiti pekerjaan yang diperoleh oleh para graduan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kualiti pendapatan turut mencatatkan corak menaik apabila peratusan graduan ijazah sarjana muda yang memperoleh gaji bermula RM3,001 hingga RM4,000 meningkat kepada 23.8 peratus pada tahun 2025 berbanding 22.7 peratus pada tahun lalu.

Pada masa yang sama, kadar penempatan pemegang diploma dan ke atas dalam sektor pekerjaan mahir pada tahun ini turut melonjak kepada 72.1 peratus berbanding dengan hanya 68.3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2023.

Kredit Foto: Facebook Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi