Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 07:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Budaya membaca tidak seharusnya terhenti pada helaian buku semata-mata. Sebaliknya, budaya ini perlu menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi penulis muda yang berani berkarya, berfikiran kritis serta mampu memanfaatkan teknologi secara bijaksana.

Demikian ucapan Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Encik Hairul Nizam Ramli semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Encik Hairul Nizam Ramli semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Program ini memberikan ruang kepada murid untuk mengembangkan kreativiti melalui pembacaan, penyelidikan, perbincangan dan penulisan, sekali gus memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, kerjasama antara JPN Pulau Pinang dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sinergi penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berbudaya dan beridentiti Malaysia.

“Teknologi boleh dimanfaatkan untuk menyokong proses pembelajaran, namun jangan sesekali menjadikannya sebagai pengganti kepada budaya membaca. Murid sewajarnya menggunakan teknologi sebagai panduan dan pencetus idea, bukannya sebagai jalan mudah untuk meniru atau menciplak hasil karya orang lain.,” katanya lagi.

 

Wakil Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohammad Zin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sementara itu, wakil Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohammad Zin berkata, Program MDK yang diperkenalkan sejak tahun 1989 bertujuan untuk membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran Bahasa Melayu dengan memanfaatkan majalah sebagai bahan pembelajaran.

Beliau berkata, program MDK bukan sahaja mencungkil bakat murid dalam bidang penulisan dan kewartawanan, malah membentuk jati diri, kreativiti dan kemahiran murid secara holistik.

Tambah beliau, murid perlu merebut peluang menghantar cerpen, puisi dan pelbagai karya kreatif kepada majalah terbitan DBP bagi mengembangkan bakat serta memperoleh pengalaman sebagai penulis muda.

Program Kembara MDK Peringkat Negeri Pulau Pinang ini telah dilaksanakan pada 30 Jun 2026 (Selasa) di SSTP, JPN Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena.

Program ini telah dihadiri oleh 90 orang murid dari 24 buah sekolah rendah dan 83 orang pelajar dari 20 buah sekolah menengah.

Peserta sekolah rendah yang mengikuti Program Kembara MDK Dewan Pelajar.

Selain itu, Bengkel MDK untuk Guru yang disampaikan oleh Encik Muhamad Rafiq Abdul Rahman pula melibatkan sebanyak 44 orang guru dari 24 buah sekolah rendah dan 20 buah sekolah menengah.

Barisan peserta Program Kembara MDK Dewan Siswa.

Program ini telah dilaksanakan oleh DBP Wilayah Utara dengan kerjasama SSTP, JPN Pulau Pinang, Bahagian Majalah dan Akademi DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi