Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menangani isu sekolah daif di seluruh negara.
Sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah diluluskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.8 bilion.
Menurut kenyataan media KPM, sehingga Jun 2026, sebanyak 813 projek telah siap sepenuhnya, manakala 173 projek sedang dalam pembinaan dan 264 projek lagi masih berada pada peringkat prabina.
Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah antara enam bulan hingga 36 bulan, tertakluk pada skop kerja serta keperluan penyediaan tapak.
Pada masa yang sama, KPM menjelaskan bahawa bilangan sekolah daif yang dilaporkan oleh media baru-baru ini adalah bersifat dinamik dan boleh berubah dari semasa ke semasa.
Sehubungan dengan itu, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa memantau dengan rapi keperluan serta kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah daif yang dikenal pasti.
KPM kekal komited dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti serta persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi semua sekolah di seluruh negara demi manfaat murid, guru dan masyarakat secara keseluruhannya.