Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan telah melaksanakan kempen #Tunggu16 sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan remaja di alam maya dengan mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu oleh individu yang berusia di bawah 16 tahun. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, di samping mengurangkan risiko pendedahan golongan tersebut kepada ancaman dan kandungan yang berbahaya di alam maya.

Inisiatif terbaharu yang digariskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia itu meletakkan keselamatan kanak-kanak dan remaja sebagai agenda keutamaan negara.

Pelaksanaan dasar ini disokong secara bersepadu oleh mekanisme sistem elektronik Kenali Pelanggan Anda atau Electronic Know Your Customer (e-KYC) yang memastikan umur sebenar pengguna disahkan melalui dokumen rasmi negara.

Melalui ketetapan ini, kaedah pengesahan umur akan diselaraskan sepenuhnya bagi mengelakkan wujudnya kelompangan penguatkuasaan yang berbeza-beza antara aplikasi.

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan memberikan jaminan bahawa akaun sedia ada milik pengguna di bawah had umur 16 tahun tidak akan dipadamkan secara serta-merta. Sebaliknya, proses sekatan akses dan peralihan pengurusan akaun tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat.

Bagi mengukuhkan lagi ekosistem keselamatan ini, platform digital di Malaysia kini dikawal selia secara perundangan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act – ONSA).

Kawal selia ini dipacu oleh dua kod utama, iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) yang dirangka untuk melindungi golongan berkenaan daripada pelbagai ancaman di Internet, serta Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) yang mewajibkan penyedia platform meminimumkan risiko pendedahan kandungan dan ancaman berbahaya kepada pengguna.

Langkah proaktif ini dilihat selari dengan trend kawal selia pada peringkat global. Beberapa negara maju turut menguatkuasakan langkah sekatan yang ketat, termasuklah Australia yang melaksanakan larangan pemilikan media sosial tertentu bagi individu bawah umur 16 tahun dan Perancis yang mewajibkan kebenaran ibu bapa bagi pengguna bawah umur 15 tahun.

Negara lain seperti China, United Kingdom, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Norway turut giat merangka dan melaksanakan perlindungan, serta peningkatan had umur minimum bagi membina persekitaran digital yang lebih selamat untuk tatapan generasi masa hadapan.

Risalah berkaitan dengan kempen #Tunggu16 terbitan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi