Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sintok – Budaya menerbitkan hasil penyelidikan secara awal serta keupayaan mengenal pasti jurnal pemangsa (predatory journal) perlu diperkukuh dalam kalangan pelajar pascasiswazah bagi memastikan mereka dapat memenuhi syarat pengijazahan tanpa menjejaskan kualiti dan integriti penyelidikan.

Demikian perkongsian oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs. Prof. Madya Dr. Bahtiar Mohamad dalam satu sesi wacana ilmu bertajuk “No Scopus/ WoS, No Viva: What UUM PhD Students Must Know” yang berlangsung di OYAGSB Studio, UUM Sintok, hari ini.

Menurut beliau, banyak pelajar hanya memberikan perhatian terhadap penerbitan pada peringkat akhir pengajian sehingga menyebabkan tekanan yang tinggi, sedangkan penerbitan ilmiah seharusnya dirancang seawal mungkin sebagai sebahagian daripada perjalanan penyelidikan.

Beliau menjelaskan bahawa penerbitan awal mampu membantu pelajar memenuhi keperluan bergraduasi, mengukuhkan sorotan literatur melalui maklum balas daripada penilai, mengurangkan tekanan menjelang tamat pengajian, serta membina profil akademik yang lebih kukuh untuk kerjaya penyelidikan pada masa hadapan.

Prof Madya Dr. Bahtiar Mohamad sedang memberikan perkongsian di OYAGSB Studio, UUM Sintok.

“Penerbitan bukan sekadar memenuhi syarat bergraduasi, tetapi merupakan proses pembelajaran yang membantu penyelidik memperbaiki kualiti penulisan dan meningkatkan impak penyelidikan mereka,” ujar beliau.

Beliau turut menerangkan pelbagai peluang penerbitan yang boleh diterokai oleh pelajar mengikut perkembangan kajian masing-masing.

Antaranya termasuklah kertas perspektif, analisis bibliometrik, sorotan literatur sistematik, kertas konseptual, kertas pembangunan kerangka, kajian perintis atau metodologi serta kertas empirikal.

Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan bahawa kepelbagaian bentuk penerbitan ini membolehkan pelajar menghasilkan penulisan ilmiah secara berperingkat tanpa perlu menunggu penyelidikan selesai sepenuhnya.

“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepat proses penerbitan, malah membantu meningkatkan kematangan idea penyelidikan melalui penilaian rakan sebidang,” ujar beliau.

Penerbitan awal membantu pelajar pascasiswazah mengurangkan tekanan serta memenuhi syarat pengijazahan dengan lebih terancang.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pelajar supaya lebih berhati-hati ketika memilih jurnal bagi mengelakkan menjadi mangsa jurnal pemangsa yang boleh menjejaskan reputasi penyelidik serta kredibiliti hasil penyelidikan.

Menurut beliau, terdapat enam petanda utama yang boleh dijadikan panduan untuk mengenal pasti jurnal yang diragui.

Antaranya ialah skop penerbitan yang terlalu luas tanpa pengkhususan yang jelas, tempoh penerimaan manuskrip yang terlalu pantas, peningkatan jumlah artikel yang diterbitkan secara mendadak, jemputan penerbitan yang terlalu agresif, caj pemprosesan artikel (APC) yang tidak telus serta laman sesawang jurnal yang tidak profesional dan berkualiti rendah.

Beliau menegaskan bahawa pelajar perlu meluangkan masa membuat semakan terhadap latar belakang jurnal sebelum menghantar manuskrip bagi memastikan jurnal tersebut mempunyai proses semakan rakan sebidang yang telus serta diiktiraf oleh komuniti akademik.

Tambah beliau, kesilapan memilih jurnal bukan sahaja boleh menyebabkan pembaziran masa dan kos, malah berpotensi menjejaskan peluang pelajar untuk memenuhi syarat penerbitan yang ditetapkan oleh universiti.

Beliau turut menggalakkan pelajar dan penyelia menjadikan perancangan penerbitan sebagai agenda utama sejak awal penyelidikan agar proses menghasilkan artikel dapat dilaksanakan secara sistematik, beretika dan berkualiti tinggi.

Perkongsian tersebut diharapkan dapat meningkatkan literasi penerbitan ilmiah dalam kalangan warga pascasiswazah serta memupuk budaya penyelidikan yang lebih berintegriti, sekali gus menyumbang kepada penghasilan penyelidik yang berdaya saing dan mampu memperkukuh kecemerlangan akademik negara.

Kredit Foto: Sharir Aizat Kamaruddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi