Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pasukan Dewan Masyarakat muncul juara keseluruhan Hari Sukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 selepas mengumpulkan mata tertinggi menerusi persembahan cemerlang dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Kejayaan itu melayakkan rumah Dewan Masyarakat membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, manakala rumah Dewan Sastera muncul naib juara dengan hadiah bernilai RM3,000.
Tempat ketiga dimenangi oleh rumah Dewan Budaya yang menerima wang berjumlah RM2,000, sementara rumah Dewan Bahasa menduduki tempat keempat dengan hadiah RM2,000.
Sepanjang kejohanan, pasukan Dewan Masyarakat mempamerkan prestasi paling konsisten apabila menjuarai acara perarakan kontinjen, gerakan khas kontinjen, berjalan kaki 8 x 50 meter veteran lelaki, berjalan kaki 8 x 50 meter veteran wanita, larian 8 x 50 meter lelaki (550 kilogram), larian 4 x 100 meter lelaki (terbuka) dan lompat jauh lelaki.
Pasukan itu turut muncul sebagai naib juara dalam acara tarik tali, larian 8 x 50 meter perempuan (350 kilogram) dan lompat jauh perempuan, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai juara keseluruhan.

Rumah Dewan Sastera pula mengungguli acara larian 8 x 50 meter lelaki (600 kilogram), larian 4 x 100 meter perempuan (terbuka) dan lompat jauh perempuan, selain mencatat beberapa kedudukan podium dalam acara lain.

Rumah Dewan Budaya menunjukkan persembahan memberangsangkan apabila muncul naib juara dalam gerakan khas kontinjen, larian 8 x 50 meter perempuan (350 kilogram), larian 8 x 50 meter lelaki (550 kilogram) dan berjalan kaki veteran lelaki.

Rumah Dewan Bahasa berjaya meraih beberapa kedudukan kedua dan ketiga termasuk dalam acara lompat jauh lelaki dan larian 4 x 100 meter lelaki.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran sukan itu bukan bertujuan untuk menentukan pasukan terbaik semata-mata, sebaliknya menjadi platform untuk mengukuhkan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga DBP.

Beliau berkata, elemen rekreasi dan sukan dimasukkan dalam Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 bagi memastikan kesejahteraan karyawan diberikan perhatian seiring dengan usaha meningkatkan kecemerlangan organisasi.
“Walaupun sebahagian besar daripada kita sibuk dengan tugas hakiki, aspek silaturahim dan kesejahteraan sesama karyawan perlu juga diutamakan.
“Oleh sebab itu, dalam pakej sambutan ulang tahun DBP yang ke-70 ini, kita masukkan unsur rekreasi dan sukan yang memberikan ruang untuk kita mengukuhkan hubungan sesama warga DBP serta ahli keluarga,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Komunikasi Korporat selaku urus setia induk kejohanan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua kontinjen atas komitmen serta kesungguhan menjayakan temasya sukan tersebut.

Saya menekankan bahawa ini bukan pertandingan sukan semata-mata. Ini ialah pertandingan untuk mengukuhkan silaturahim. Kalah dan menang tidak perlu dikira, tetapi yang penting ialah rasa kebersamaan, perpaduan dan hormat-menghormati sesama kita.
Beliau berkata, semangat tersebut penting bagi membentuk sebuah organisasi yang kuat, sejahtera dan bersatu padu demi merealisasikan visi serta misi DBP.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa DBP kini berada pada landasan terbaik dan terus mendapat pengiktirafan atas fungsi serta peranannya sebagai institusi bahasa dan persuratan negara.
Katanya, ulang tahun ke-70 menjadi pemangkin kepada seluruh warga DBP untuk terus meningkatkan motivasi dan memperkukuh semangat berpasukan dalam mendukung agenda organisasi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan Akta DBP yang dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini akan membuka ruang kepada DBP untuk memperluas peranannya bukan sahaja pada peringkat nasional, malah sehingga peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, dengan pindaan Akta yang akan kita laksanakan pada hujung tahun ini, kita akan mengembangkan sayap kita bukan setakat di dalam negara, bahkan sehingga peringkat antarabangsa,” katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan laungan, “DBP terus maju, DBP di mercu!”