Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bakal memanfaatkan data profil, potensi dan lokasi tepat golongan asnaf daripada program “Kayuhan MAIPs Peduli” untuk menubuhkan inkubator perniagaan asnaf mikro di negeri ini menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, MAIPs juga perlu memperkukuh kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), serta agensi lain untuk melatih golongan miskin dalam dua bidang utama, iaitu pertanian moden (smart rarming) dan ekonomi digital.
Titah baginda, peruntukan dana zakat oleh MAIPs tidak lagi terhad kepada bantuan sara hidup yang bersifat konsumtif, sebaliknya turut dimanfaatkan sebagai modal pusingan dan dana permulaan yang produktif untuk perniagaan kecil-kecilan.
Melalui inisiatif ini, asnaf yang terpilih akan didedahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti sistem fertigasi automasi, penderia Internet benda dan hidroponik menegak demi meningkatkan hasil tanaman di kawasan tanah terhad dengan kos operasi yang lebih rendah.
Selain itu, mereka juga akan dilatih dengan kemahiran pemasaran dalam talian, pengurusan kewangan digital, serta penjenamaan produk digital agar pasaran perniagaan mereka mampu berkembang melangkaui sempadan negeri Perlis.
“Langkah proaktif ini penting dalam usaha berterusan mengubah nasib golongan asnaf daripada penerima zakat kepada pembayar zakat atau daripada mustahiq kepada muzakki MAIPs (M2MM) selaras dengan Kluster “Inisiatif Asnaf” di bawah Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026 – 2030,” titah baginda.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa usaha bersepadu tersebut sekali gus bakal meletakkan Perlis sebagai pelopor kepada model pembasmian kemiskinan yang paling berkesan menerusi sistem ekonomi Islam yang lestari.
Demikian titah baginda sempena program Kayuhan MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Felda Rimba Mas, Padang Besar, baru-baru ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah anakanda kedua baginda, DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program Kayuhan MAIPs Peduli yang diadakan secara berkala ini bertujuan untuk menjejaki, menyantuni, serta menyelami sendiri kesusahan hidup golongan asnaf di seluruh pelosok Perlis, sekali gus memberikan peluang kepada MAIPs melihat sendiri keadaan sebenar penerima bantuan di samping mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.

Sepanjang program berlangsung, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Zaharan Tayib, 77 tahun, Bedah Yayaya, 90 tahun, serta Fadzaillah Mahd Dali, 75 tahun yang tinggal di Kampung Rimba Mas.