Diterbitkan pada 6 Julai 2026, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kira-kira 400 ribu murid tahun empat dijangka menjadi kohort pertama menduduki Matriks Pembelajaran Tahun 4 2026 yang dijadualkan berlangsung secara serentak di seluruh negara bermula pada 6 hingga 8 Oktober ini.

Inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) itu dilaksanakan sebagai instrumen diagnostik seragam bagi mengukur tahap penguasaan dan memperkukuh intervensi awal murid, tanpa bertujuan membandingkan pencapaian antara murid mahupun kedudukan sekolah.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP) KPM, YBrs. Tuan Ab Aziz Mamat berkata, pelaksanaan pentaksiran tersebut melibatkan ujian bertulis selama satu jam 15 minit bagi setiap mata pelajaran.

“Mata pelajaran utama yang diuji merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, berserta tambahan mata pelajaran Bahasa Tamil dan Bahasa Cina khusus untuk murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK),” jelas beliau.

Menyentuh tentang penyediaan instrumen, beliau memaklumkan bahawa kertas soalan dibangunkan secara teliti oleh pihak LP bersama-sama dengan barisan guru yang terlibat langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas bagi memastikan standard pentaksiran yang seragam pada peringkat nasional.

Bagi menyokong keperluan pembelajaran murid yang mengikuti Program Dwibahasa (Dual Language Programme – DLP), KPM turut menyediakan kertas soalan dwibahasa bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, manakala murid aliran perdana yang lain kekal dibekalkan dengan kertas soalan dalam bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, YBrs. Tuan Ab Aziz Mamat menegaskan bahawa pihak sekolah dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua murid tahun empat didaftarkan untuk menduduki matriks pembelajaran tersebut.

“Langkah ini amat kritikal bagi memudahkan penyediaan kertas soalan yang mencukupi agar tiada mana-mana calon yang tercicir,”

“Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 merangkap sebahagian daripada kerangka Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang juga secara tidak langsung menamatkan polemik peperiksaan awam,” ujar beliau lagi.

Mengulas mengenai hala tuju pentaksiran tersebut, beliau memaklumkan bahawa ruang masa yang wujud bermula pada peringkat tahun empat itu amat penting untuk membolehkan guru, sekolah dan ibu bapa merancang intervensi berfokus bagi mengatasi kelemahan murid sebelum mereka beralih ke sekolah menengah.

KPM kekal dengan pendirian mutlak untuk tidak mengembalikan sistem berpusat seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mahupun Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), sebaliknya memfokuskan usaha berterusan ke arah pembangunan potensi individu setiap murid dalam ekosistem pendidikan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi