Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Johor Ke-16 melabuhkan tirainya dengan mencatatkan peratusan keluar mengundi yang amat menggalakkan, iaitu sebanyak 94.49 peratus.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, YBrs. Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan bahawa angka peratusan tersebut mewakili sebanyak 19,471 orang pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut beliau, jumlah keluar mengundi itu merangkumi sebanyak 7,960 orang anggota tentera dan pasangan, serta 11,511 orang anggota polis berserta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Pada hari ini telah berlangsung proses mengundi awal bagi PRN Johor yang bermula pada pukul 8.00 pagi,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media bertarikh semalam.
Bagi melancarkan proses demokrasi tersebut, sebanyak 62 pusat pengundian awal telah dibuka di seluruh negeri Johor.
Waktu operasi pusat pengundian itu ditutup secara berperingkat berdasarkan kawasan, yang menyaksikan sebanyak 29 pusat mengundi ditutup pada pukul 12.00 tengah hari dan diikuti lima pusat mengundi pada pukul 2.00 petang.
Baki 28 pusat mengundi yang lain pula ditutup sepenuhnya secara serentak pada pukul 5.00 petang.
Susulan kelancaran proses berkenaan, pihak SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta barisan petugas atas kecemerlangan mereka.
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Mengakhiri kenyataan tersebut, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan padu yang diberikan kepada pihak SPR.