Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pengundi dihidangkan dengan pertembungan tawaran yang komprehensif menerusi manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Manifesto PH yang bertemakan Johor Untuk Semua meletakkan 10 tawaran utama dan lima inisiatif pencetus perubahan bagi menjamin kemakmuran dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Tawaran paling menonjol daripada gabungan tersebut tertumpu pada pengenalan Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun berserta langkah menghidupkan semula Kad Sihat Johor.

Bagi meredakan beban pemilikan hartanah, PH menjanjikan bantuan deposit sebanyak RM8,000 untuk pembeli rumah pertama di samping iltizam membina 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Golongan belia pula diberi perhatian khusus menerusi penyediaan Dana Anak Muda Johor bernilai RM500 juta bagi menyokong program pendidikan teknikal premium serta latihan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI).

Menyentuh isu kelancaran trafik pekerja tambak, PH berikrar untuk mengurangkan masa menunggu rentas sempadan sebanyak 50 peratus melalui integrasi sistem rel dan pengangkutan bas tempatan.

“Johor sedang melalui transformasi ekonomi terbesar dalam sejarahnya dan berpotensi menjadi negeri paling maju di Malaysia menerusi pewujudan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi,” dipetik daripada dokumen manifesto PH.

Sementara itu, BN tampil dengan manifesto bertemakan Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan yang berpaksikan kepada empat teras utama pembangunan negeri.

Mengutamakan unjuran ekonomi makro, BN meletakkan sasaran besar untuk menggandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri kepada RM260 bilion menjelang tahun 2030.

Gabungan itu juga menyasarkan peningkatan pendapatan per kapita melebihi RM65,000 bagi mengangkat Bangsa Johor melepasi ambang pendapatan tinggi.

Selari dengan pertumbuhan ekonomi tersebut, BN komited untuk menjana 200,000 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi 100,000 pekerjaan berpendapatan premium dalam industri berteknologi tinggi.

Menerusi agenda jaringan keselamatan sosial, BN bakal menggerakkan usaha pembasmian kemiskinan menerusi peruntukan dana sebanyak RM500 juta serta membina 70,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) baharu.

Bagi memperkasakan tadbir urus kerajaan, manifesto BN menjanjikan kelulusan lesen perniagaan tidak berisiko dalam tempoh 24 jam serta perluasan sistem kelulusan pantas Johor Super Lane ke semua 16 pihak berkuasa tempatan.

“Penyelesaian baki permohonan lot generasi kedua (Federal Land Development Authority – FELDA) sebanyak 1,729 akan dilaksanakan sebagai kesinambungan kepada pencapaian sedia ada yang telah menyelesaikan 10,663 permohonan,” menurut kenyataan BN.

Secara rumusnya, PRN Johor pada kali ini menyaksikan pertembungan dasar apabila PH memfokuskan pada campur tangan langsung bagi meredakan kos sara hidup rakyat, manakala BN pula menawarkan jaminan kelangsungan pentadbiran berserta unjuran lonjakan ekonomi berskala mega.

Walau bagaimanapun, kuasa penentu kini berada di tangan rakyat Johor untuk memilih pemimpin yang bakal menerajui tampuk pemerintahan negeri bagi empat tahun seterusnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi