Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai hab pertahanan serantau apabila Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA’27) dilancarkan secara rasmi semalam di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sekali gus menandakan permulaan persiapan bagi edisi ke-18 penganjurannya.
Pameran anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Pameran dan Persidangan Global (GEC) ini mengangkat tema “Menerajui Visi Lestari Merentasi Laut, Udara dan Angkasa” sebagai antara platform pertahanan dan aeroangkasa paling berprestij di rantau Asia Pasifik.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak Sulaiman yang mewakili Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama-sama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, selaku Pengerusi Bersama LIMA’27.
Semasa membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak menyatakan bahawa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) bukan sekadar pameran, sebaliknya telah berkembang menjadi platform strategik yang memperkukuh diplomasi pertahanan antarabangsa, mempercepat inovasi teknologi, serta merangsang kerjasama industri dan peluang ekonomi.
“LIMA 2027 akan berlangsung dari 20 hingga 24 April 2027 ini mencerminkan aspirasi untuk memastikan pembangunan pertahanan pada masa hadapan yang bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi juga mampan dan berdaya tahan,” ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan awal terhadap LIMA’27 amat menggalakkan apabila kira-kira 40 peratus ruang pameran telah ditempah oleh pempamer tempatan dan antarabangsa dalam tempoh dua bulan, susulan pelancaran awal LIMA’27 pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026.
Berdasarkan momentum semasa, LIMA’27 dijangka menghimpunkan sehingga 930 syarikat pempamer dari 36 negara, melibatkan kira-kira 60,000 pelawat perdagangan dan tarikan sehingga 400,000 pengunjung awam.
Selain itu, acara ini turut dijangka akan disertai oleh sebanyak 450 delegasi antarabangsa dari 65 buah negara, serta mempamerkan lebih 110 aset udara dan 90 aset maritim.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa LIMA’27 dijangka akan menampilkan beberapa pasukan aerobatik bertaraf dunia seperti Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Rusia, tertakluk kepada pengesahan penyertaan serta situasi geopolitik semasa.
“LIMA’27 juga akan memberikan tumpuan kepada lapan segmen utama termasuk teknologi kapal autonomi dan dron, keselamatan siber dan kecerdasan buatan, sistem persenjataan canggih, keselamatan infrastruktur kritikal, komunikasi satelit, sistem kenderaan darat, udara dan laut, serta bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana,” ujar beliau.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pelibatan awam, Kementerian Pertahanan turut merancang penganjuran program LIMA Run pada 25 Oktober 2026 yang akan berlangsung di Dataran Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur, bagi memupuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran dan keterlibatan masyarakat terhadap LIMA’27.
Tambah beliau, program sukarelawan turut diperluas dengan melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia serta pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi memupuk pembangunan modal insan dan generasi baharu dalam bidang pertahanan.