Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menegaskan komitmennya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan seorang murid Tahun 5 yang mengalami kecederaan akibat terjatuh di sebuah sekolah rendah di daerah Padang Terap sentiasa diberikan perhatian yang sewajarnya.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku apabila mangsa mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika cubaan menangkap burung di ruang siling sekolah tersebut.

Kejadian berlaku selepas sesi persekolahan tamat, sewaktu murid berkenaan telah pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum hadir semula ke sekolah bagi mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sesi petang.

Pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan mendapatkan bantuan kecemasan sejurus selepas kejadian, sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi menerima rawatan lanjut.

Bagi meringankan beban emosi yang dihadapi, JPN Kedah turut memastikan kebajikan murid dan keluarga terus diberikan perhatian termasuk menyediakan sokongan dari aspek emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain yang bersesuaian.

Sehubungan dengan itu, intervensi sokongan emosi juga akan diberikan kepada para murid di sekolah berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi