Diterbitkan pada 10 Julai 2026, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Seawal pukul 8.00 pagi esok, proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 akan bermula di 1,076 pusat mengundi melibatkan kira-kira 2.7 juta pemilih berdaftar bagi menentukan wakil rakyat untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kempen PRN Johor kali ini yang berlangsung selama dua minggu akan melabuhkan tirainya tepat pada pukul 11.59 malam ini, sekali gus menamatkan segala aktiviti untuk menarik sokongan pengundi sama ada secara bersemuka mahupun dalam platform digital.

Tahun ini, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini, berbanding dengan 239 calon pada edisi tahun 2022.

Sepanjang tempoh kempen yang bermula dari 27 Jun lalu, pelbagai pendekatan dan manifesto telah diketengahkan oleh parti-parti yang bertanding, dengan penekanan terhadap isu kos sara hidup, pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan serta kebajikan rakyat.

Kini, segala tawaran tersebut akan diserahkan kepada kebijaksanaan para pengundi untuk menilai dan membuat pilihan yang bakal menentukan corak pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan rasmi dapat diperoleh seawal pukul 10.00 malam esok, 11 Julai.

Sehubungan dengan itu, para pengundi dinasihatkan supaya menyemak maklumat pusat mengundi dan saluran masing-masing lebih awal bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar.

Sementara itu, proses pengundian awal telah selesai dilaksanakan melibatkan sebanyak 20,607 pemilih daripada kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing yang berlangsung pada hari Selasa lalu.

Menjelang penutupan kempen, kehadiran pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam siri ceramah terakhir dilihat sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh sokongan pada saat akhir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi