Diterbitkan pada 12 Julai 2026, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh mandat kukuh untuk terus mentadbir negeri.

Keputusan penuh yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Pakatan Harapan (PH) memenangi baki lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) gagal memenangi sebarang kerusi.

Sebelum keputusan penuh diumumkan, SPR dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa setakat pukul 10.32 malam, BN telah memperoleh 29 kerusi, sekali gus melepasi ambang majoriti mudah daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan.

Pengerusi SPR, YBhg. Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, proses pengundian pada 11 Julai berlangsung dengan baik, lancar serta mematuhi semua peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan.

Menurut beliau, sebanyak 1,874,918 pengundi atau 68.73 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU DUN Johor Ke-16, melibatkan pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa.

“Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung pada 11 Julai 2026 dan pengundi-pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

“Selain itu, PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 juga tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa SPR sentiasa melaksanakan urusan pilihan raya mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung secara bebas, adil dan telus.

Kemenangan kali ini menyaksikan BN menambah lapan kerusi berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri Johor 2022 apabila gabungan itu memperoleh 40 kerusi. Sebaliknya, PH kehilangan empat kerusi selepas hanya memenangi lapan kerusi berbanding 12 kerusi pada pilihan raya lalu.

PN pula kehilangan kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada 2022, manakala MUDA turut gagal mempertahankan satu-satunya kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Keputusan tersebut menjadikan komposisi DUN Johor kini terdiri daripada 48 kerusi BN dan lapan kerusi PH, sekali gus mengukuhkan kedudukan BN sebagai parti dominan di negeri itu bagi penggal baharu pentadbiran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi