Diterbitkan pada 14 Julai 2026, 13:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara rasminya telah memperkenalkan “Tuah” sebagai maskot rasmi bagi penganjuran temasya Sukan SEA ke-34 yang bakal dianjurkan di Malaysia pada tahun 2027.

Majlis Peluncuran yang berlangsung di IOI City Mall itu telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohammed Taufiq Johari pada semalam.

Bagi penganjuran kali ketujuh ini, Malaysia turut mengangkat Raikan Perpaduan (Celebrating Unity) sebagai tema rasmi bagi menterjemahkan matlamat menjadikan sukan sebagai medium perpaduan rentas kaum, agama dan budaya di rantau Asia Tenggara.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq Johari menyampaikan ucaptama ketika Majlis Peluncuran Logo, Maskot dan Tema Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia 2027 di IOI City Mall Putrajaya.

“Kita ingin membawa temasya Sukan SEA 2027 ini sebagai satu jambatan perpaduan, jambatan penyatuan dan memilih tema, Raikan Perpaduan (Celebrating Unity) sebagai ikatan perpaduan antara kita semua,” jelas beliau ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran tersebut.

Lebih menarik lagi, rekaan maskot “Tuah” yang ditampilkan pada edisi kali ini merupakan satu kelainan berani yang diinspirasikan secara langsung daripada elemen Jalur Gemilang.

Langkah ini sekali gus meninggalkan tradisi kelaziman penggunaan haiwan yang sering menghiasi karakter maskot pada edisi temasya terdahulu.

YB Dr. Taufiq Johari (tengah) ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Mencipta Logo dan Maskot Rasmi Sukan SEA Malaysia dan Sukan Para ASEAN Malaysia 2027.

“Jika sebelum ini kita menggunakan haiwan sebagai lambang Malaysia, namun pada kali ini kita mahu menjadikan Jalur Gemilang sebagai simbol yang terpahat dalam jiwa setiap atlet. Harapannya agar semangat yang dibawa oleh Jalur Gemilang akan terus disematkan dalam diri setiap anak Malaysia yang kita cintai,” ujar beliau.

“Sudah pasti untuk mencapai matlamat utama temasya  ini, iaitu perpaduan, kita menetapkan empat prinsip utama yang membentuk TUAH iaitu T untuk Togetherness, U untuk Unity, A untuk Aspiration dan H mewakili Harmony,” tambah beliau lagi.

Menyentuh mengenai rekaan logo pula, YB Menteri Belia dan Sukan menegaskan bahawa reka bentuk tersebut dizahirkan agar lebih dinamik, inovatif dan moden bagi menepati kesesuaian kepesatan era digital pada masa ini.

Beliau turut menyifatkan penganjuran Sukan SEA ini bukan sekadar sebuah acara sukan semata-mata, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang ke arah menyatupadukan jiwa rakyat terutamanya ketika dunia sedang berhadapan dengan era ketidaktentuan global.

Bagi memastikan kelancaran acara, temasya sukan berprestij bagi edisi 2027 ini bakal digerakkan secara bersepadu menerusi pelibatan empat kluster negeri utama, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

Mengakhiri ucapannya, YB Dr. Mohammed Taufiq menzahirkan keyakinan penuh bahawa berbekalkan gerak kerja awal serta persiapan rapi pihak sekretariat, Malaysia sudah berupaya dan bersedia sepenuhnya untuk melakar sejarah penganjuran Sukan SEA yang terbaik buat negara.

Sebagai rekod, Malaysia telah menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA buat kali ke-7 dan kali terakhir adalah pada penganjuran Sukan SEA Kali Ke-29 pada tahun 2017 lalu.

Kredit Foto: KBSMalaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi