Diterbitkan pada 14 Julai 2026, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pasukan Border Boys melakar sejarah apabila muncul juara bagi kategori Lelaki Terbuka Kejohanan Ragbi Perlis Royal Seven 2026 selepas berjaya menewaskan Malaysia University dengan keputusan 19-12 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, hari ini.

Kemenangan sengit itu membolehkan Perlis Border Boys membawa pulang trofi kejuaraan mutlak pada edisi kali ini.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pasukan johan dan naib johan bagi kategori tersebut.

Edisi Perlis Royal Seven pada tahun ini mempertandingkan tiga kategori utama, iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Lelaki Bawah 21 Tahun (B-21).

Sementara itu, dominasi program pembangunan sukan terbukti apabila pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) muncul juara bagi kategori Lelaki B-21 selepas berjaya menewaskan pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis yang menduduki tempat kedua.

Penyampaian hadiah bagi kategori tersebut telah disempurnakan oleh anakanda kedua baginda, Yang Mulia (YM) Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail.

YM Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail semasa menyampaikan hadiah kepada pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Bagi kategori Wanita Terbuka pula, pasukan Malaysia University Ladies menjadi johan selepas  mencatatkan kemenangan 27-0 tanpa balas menewaskan RMP Blues Ladies pada perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, penganjuran Kejohanan Ragbi Perlis Royal Seven 2026 membuktikan komitmen Persatuan Ragbi Perlis dalam memperkasakan pembangunan sukan ragbi di negeri ini, di samping menyediakan platform kompetitif kepada pemain tempatan dan luar negara untuk mengasah bakat menjadi medium terbaik bagi melonjakkan mutu sukan ragbi ke tahap yang lebih tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi