Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam Sebanyak 120,000 orang pelajar di Selangor bakal menerima sarapan percuma bermula Ogos ini menerusi inisiatif kerajaan negeri. Usaha itu diperkenalkan bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menerusi hantaran Facebook Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari, beliau mengumumkan bahawa program ini akan melibatkan 965 buah sekolah termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), serta institusi yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Menurut beliau, pelajar yang dikenal pasti melalui data JPN Selangor akan menerima sarapan sebanyak dua kali hingga tiga kali seminggu, khususnya bagi membantu keluarga yang memerlukan.

“Langkah ini merupakan pelaburan terhadap masa hadapan anak-anak agar mereka dapat belajar dengan lebih fokus dan selesa,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan program tersebut selari dengan amalan di beberapa negara maju seperti Finland dan United Kingdom yang telah sekian lama menyediakan sarapan percuma kepada pelajar, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan kesejahteraan dan prestasi akademik.

Tambah beliau, India telah memperkenalkan program seumpama itu pada tahun 2022, sekali gus mencatat peningkatan kehadiran pelajar serta pengurangan kadar keciciran secara ketara.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan sekolah sebagai ruang yang bukan sahaja kondusif untuk pembelajaran, malah turut menjamin kebajikan pelajar secara menyeluruh.

Tambah beliau, mekanisme pelaksanaan program ini hampir serupa dengan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah sekian lama dilaksanakan, sekali gus memudahkan pengurusan dan penyaluran bantuan secara bersasar.

“Inisiatif ini juga antara langkah untuk membantu ibu bapa yang terkesan akibat tekanan ekonomi global, termasuk krisis Asia Barat yang memberikan impak kepada kos sara hidup,” katanya.

Program sarapan percuma ini merupakan pendekatan proaktif kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, di samping menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan di Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi