Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBunyi paluan gong bertingkah dengan rentak engkerumong bergema memecah kesunyian malam. Di ruang legar rumah panjang, penari mengatur langkah Tari Ngajat dengan penuh semangat, disambut sorakan sanak saudara yang sudah lama terpisah oleh jarak dan waktu. Inilah keunikan Hari Gawai. Perayaan ini bukan sekadar pesta tahunan, malah menjadi lambang perpaduan dan kesinambungan budaya masyarakat Dayak, khususnya suku kaum Iban di Sarawak.
Titik Penyatuan dan Kesyukuran
Hari Gawai disambut pada 1 Jun setiap tahun sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan atas hasil tuaian dan rezeki yang diperoleh sepanjang tahun. Selain menikmati hidangan tradisional seperti pansuh dan tuak, Hari Gawai membawa makna yang lebih besar kepada masyarakat Iban.
Perayaan ini menjadi saat yang paling dinanti-nantikan, terutamanya oleh anak-anak yang merantau. Mereka akan pulang ke kampung halaman untuk berkumpul bersama-sama dengan keluarga. Rumah panjang yang biasanya sunyi kembali meriah dengan gelak ketawa, cerita lama dan kemesraan ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu.
Cabaran Urbanisasi dan Penghijrahan
Pada masa ini, masyarakat Iban berdepan dengan pelbagai cabaran akibat perubahan zaman. Banyak generasi muda berhijrah ke bandar, Semenanjung Malaysia atau ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan yang lebih baik.
Keadaan ini menyebabkan mereka semakin kurang terdedah kepada bahasa ibunda, adat resam dan budaya masyarakat Iban. Kehidupan di bandar yang lebih bersifat individu juga sedikit demi sedikit mengurangkan amalan hidup bermasyarakat yang menjadi kekuatan masyarakat Iban sejak dahulu.
Oleh itu, Hari Gawai menjadi peluang yang sangat penting untuk generasi muda kembali mengenali bahasa, adat dan budaya sendiri. Perayaan ini membantu mereka memahami asal usul serta mengukuhkan jati diri sebagai anak Iban.
Peranan Generasi Tua Mewariskan Budaya
Dalam usaha memastikan warisan ini terus hidup, golongan tua memainkan peranan yang sangat penting. Ketua masyarakat, ibu bapa dan datuk nenek sentiasa berusaha memperkenalkan adat serta budaya kepada anak-anak, cucu dan cicit mereka.
Hari Gawai boleh diibaratkan sebagai sebuah “bilik darjah” yang terbuka. Di sinilah pelbagai ilmu dipelajari secara semula jadi. Kisah asal usul keluarga, sejarah masyarakat Iban, adat sopan dan pantang larang disampaikan melalui cerita dan pengalaman hidup.
Generasi muda juga dilibatkan dalam pelbagai aktiviti seperti bergotong-royong menyediakan makanan tradisional dan membantu persiapan upacara miring. Melalui pelibatan secara langsung, mereka bukan sahaja mempelajari sesuatu kemahiran, malah memahami nilai kerjasama, hormat-menghormati dan semangat kekeluargaan yang menjadi asas kehidupan masyarakat Iban.
Menjiwai Identiti melalui Ngajat dan Muzik Tradisional
Pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan sepanjang sambutan Hari Gawai bagi memastikan warisan masyarakat Iban terus dipelihara. Antaranya itermasuklah persembahan Tari Ngajat yang sangat sinonim dengan masyarakat Iban.
Tari Ngajat bukan sekadar tarian untuk menghiburkan tetamu. Setiap gerak tari mempunyai makna tersendiri. Tarian ini menggambarkan keberanian pahlawan Iban serta kelembutan dan kecekalan wanita Iban dalam kehidupan seharian. Melalui persembahan ini, generasi muda dapat mengenali sejarah dan nilai budaya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Selain itu, generasi muda turut digalakkan mempelajari alat muzik tradisional Iban seperti gong, gendang, engkerumong dan bebendai. Bermain alat muzik tradisional memerlukan kemahiran, disiplin dan latihan yang berterusan. Pelibatan mereka bukan sahaja dapat menghidupkan semula seni muzik tradisional, malah menanam perasaan bangga terhadap warisan budaya sendiri.
Kesimpulannya, Hari Gawai bukan sekadar perayaan menuai, malah menjadi benteng penting dalam mempertahankan warisan budaya masyarakat Iban. Perayaan ini menyatukan keluarga, mengeratkan hubungan masyarakat serta menjadi medan untuk mewariskan adat dan budaya kepada generasi muda.
Usaha memelihara warisan ini memerlukan kerjasama semua pihak. Generasi tua perlu terus berkongsi ilmu dan pengalaman, manakala generasi muda pula perlu menghargai, serta mempelajari warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka. Walau sejauh mana mereka merantau dan setinggi mana kejayaan yang dicapai, akar budaya tidak seharusnya dilupakan kerana di situlah terletaknya identiti dan jati diri yang sebenar.