Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dunia pekerjaan sedang berubah dengan sangat pantas, malah lebih pantas daripada kemampuan kebanyakan sistem pendidikan untuk menyesuaikan kurikulum dengan perkembangan teknologi semasa. Jika sedekad lalu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training – TVET) dianggap sebagai laluan penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir, namun kini TVET memasuki fasa baharu yang lebih mencabar, iaitu era kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

AI merujuk teknologi yang membolehkan mesin atau sistem komputer meniru proses pemikiran manusia. Teknologi ini mampu belajar daripada data, memahami bahasa, menyelesaikan masalah serta membuat keputusan secara automatik tanpa campur tangan manusia yang berterusan.

Kemunculan AI bukan sekadar memperkenalkan alat baharu dalam industri, malah mengubah struktur pekerjaan itu sendiri. Banyak tugas rutin yang dahulunya dilakukan oleh manusia kini boleh diautomasi. Pada masa yang sama, pelbagai jenis pekerjaan baharu muncul dengan keperluan kemahiran yang tidak pernah wujud dalam kurikulum TVET tradisional.

Perkembangan AI telah mengubah landskap pendidikan dan latihan TVET secara menyeluruh. Jika suatu ketika dahulu latihan vokasional lebih tertumpu pada kemahiran mekanikal dan teknikal asas, kini institusi TVET berdepan cabaran untuk melahirkan tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi digital berimpak tinggi.

Antara bidang yang semakin mendapat perhatian termasuklah AI generatif (Generative AI), pembelajaran mesin (machine learning), analitik data, operasi berasaskan AI, teknologi kriptografi serta teknologi berkaitan dengan peralihan tenaga hijau. Semua bidang ini semakin penting bagi memenuhi keperluan industri yang sedang melalui transformasi digital dan automasi secara pesat.

Kemahiran Tradisional yang Masih Relevan

Jika kita menelusuri kurikulum TVET sedekad lalu, fokus utama diberikan kepada kemahiran teknikal asas seperti pendawaian elektrik, mekanik automotif, kimpalan, reka bentuk industri dan pengendalian mesin. Semua kemahiran ini masih relevan dan diperlukan sehingga hari ini.

Namun begitu, kemahiran tersebut sahaja tidak lagi mencukupi. Graduan TVET kini bukan sahaja perlu mahir menggunakan peralatan dan mesin, malah perlu memahami sistem digital, pengurusan data, automasi pintar dan teknologi berasaskan AI.

Sebagai contoh, seorang juruteknik masa kini mungkin perlu mengenal pasti kerosakan mesin melalui sistem komputer yang disokong oleh AI, bukan semata-mata bergantung pada pengalaman dan pemerhatian secara manual.

Kemahiran Baharu dalam Era AI

Perubahan yang dipacu oleh AI telah melahirkan realiti baharu dalam dunia pekerjaan. Oleh itu, kemahiran teknikal tanpa literasi digital semakin kurang kompetitif dalam pasaran kerja.

Antara kemahiran baharu yang semakin penting dalam ekosistem TVET termasuklah keupayaan membaca dan mentafsir data asas, memahami sistem automasi pintar, mengendalikan perisian industri serta berinteraksi dengan sistem AI untuk tujuan penyelenggaraan dan pengoptimuman operasi. Selain itu, kemahiran berfikir secara analitikal dan menyelesaikan masalah turut menjadi sama penting dengan kemahiran praktikal.

Lebih menarik lagi, AI bukan sahaja menggantikan sebahagian tugas manusia, malah berfungsi sebagai “rakan kerja” dalam pelbagai sektor. Dalam bidang kejuruteraan, pembuatan, logistik dan reka bentuk, AI digunakan untuk meramal kerosakan mesin, mengoptimumkan proses pengeluaran serta mempercepat pembuatan keputusan teknikal.

Keadaan ini menunjukkan bahawa tenaga kerja TVET masa kini perlu mampu bekerjasama dengan sistem pintar, bukan sekadar mengendalikannya.

Cabaran Sistem Pendidikan dan Persepsi Masyarakat

Walaupun perkembangan teknologi berlaku dengan pantas, cabaran terbesar sebenarnya bukan terletak pada teknologi itu sendiri. Sebaliknya, cabaran utama terletak pada keupayaan sistem pendidikan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku begitu pantas.

Kurikulum TVET masih dalam proses penambahbaikan bagi memenuhi keperluan industri semasa. Pada masa yang sama, masih terdapat segelintir masyarakat yang melihat TVET sebagai laluan pendidikan tradisional yang tidak banyak berubah.

Hakikatnya, TVET dalam era AI memerlukan transformasi yang lebih menyeluruh. TVET bukan lagi sekadar melahirkan pekerja mahir, tetapi tenaga kerja hibrid yang menggabungkan kemahiran teknikal, literasi digital dan pemikiran kritikal.

Masa Hadapan TVET dan Industri

Negara yang berjaya menyesuaikan sistem TVET dengan perkembangan teknologi akan mempunyai kelebihan besar dalam persaingan ekonomi global. Hal ini dikatakan demikian kerana industri masa hadapan bukan sahaja memerlukan pekerja yang mampu melaksanakan tugas, tetapi juga individu yang boleh berfikir, menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan teknologi pintar.

Oleh itu, persoalan utama kini bukan lagi tentang kepentingan TVET, tetapi keupayaannya untuk berkembang seiring dengan revolusi kecerdasan buatan. Jika penyesuaian tidak dilakukan secara berterusan, jurang antara kemahiran yang dimiliki oleh tenaga kerja dan keperluan sebenar industri akan semakin ketara.

TVET tidak kehilangan kerelevanannya, malah sedang memasuki fasa transformasi yang paling penting dalam sejarah perkembangannya. Era AI bukan menggantikan TVET, sebaliknya mengangkat bidang ini ke tahap yang lebih kompleks dan mencabar.

Dalam era baharu ini, mereka yang sanggup belajar semula, menyesuaikan diri dan berkembang bersama-sama dengan teknologi akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah.

Hakikatnya, TVET  pada hari ini jauh berbeza daripada sedekad yang lalu. Oleh itu, kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi akan menjadi penentu utama kejayaan graduan TVET pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi