Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Encik Mohd. Khair (tengah) bergambar bersama-sama dengan para pemenang anugerah pada Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku UPSI 2026 di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengiktiraf sumbangan penting ahli sidang editor jurnal dan penulis buku menerusi Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku UPSI 2026 yang berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 21 Julai, lalu.

Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkukuh budaya penerbitan ilmiah, sekali gus meningkatkan reputasi akademik universiti pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, Encik Mohd. Khair Ngadiron.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa majlis tersebut bukan sekadar acara penyampaian penghargaan biasa, sebaliknya merupakan pengiktirafan kepada individu yang menjadi nadi utama ekosistem ilmu negara.

Mereka mungkin tidak sentiasa berada di hadapan pentas, namun merekalah yang membina pentas ilmu untuk generasi selepas kita,” katanya.

Beliau menambah, penerbitan ilmiah merupakan kayu ukur penting kecemerlangan sesebuah universiti, selain infrastruktur dan kehebatan tenaga pengajarnya.

Sesebuah universiti mungkin mempunyai bangunan yang indah dan pensyarah yang hebat. Namun jika budaya menulis, menyunting, dan menerbitkan ilmu itu terhenti, perlahan-lahan denyut intelektual universiti juga akan perlahan,” jelasnya.

Encik Mohd. Khair ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku UPSI 2026 di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Encik Mohd. Khair turut menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia berpotensi menjadi hab intelektual serantau dan UPSI memainkan peranan besar dalam memastikan negara bertindak sebagai pengeluar ilmu, bukan sekadar pengguna.

Majlis tersebut turut  menyaksikan pelbagai anugerah disampaikan mengikut kategori utama:

  • Kategori Sidang Editor Jurnal:
    • Anugerah Ketua Editor Cemerlang
    • Anugerah Jurnal Berimpak dan Kejayaan Berimpak
    • Anugerah Pasukan Editor Jurnal Terbaik
    • Anugerah Kecemerlangan Penjanaan
    • Anugerah Jurnal Harapan
  • Kategori Penulis Buku Terbaik:
    • Anugerah Print on Demand Terbaik dan Buku Terlaris
    • Anugerah Karya Asli Terbaik dan Rakan Penulis
    • Anugerah Penulis Harapan dan Sanjungan Budi
    • Anugerah Khas Pejabat Karang Mengarang (PKM)

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Prof. Madya Dr. Lena Farida Hussain Chin menyifatkan sidang editor sebagai “penjaga gawang” kualiti akademik universiti.

Menurutnya, usaha gigih barisan editor telah membolehkan jurnal-jurnal universiti mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti MyCITE, Scopus serta Web of Science (WoS).

Setiap naskhah buku yang dihasilkan adalah bukti dokumentasi pemikiran dan warisan intelektual yang akan terus dirujuk. Warga akademik UPSI telah membuktikan bahawa budaya ‘Publish or Perish’ bukan sekadar slogan, tetapi satu pembudayaan hidup di universiti ini,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi