Diterbitkan pada 28 Julai 2026, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Lebih 22,000 pengundi awal mula menunaikan tanggungjawab masing-masing bersempena dengan proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung pada hari ini.

Berdasarkan hantaran rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 22,339 orang pemilih yang terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan dijangka terlibat dalam proses awal sistem demokrasi negara ini.

Jumlah tersebut merangkumi sebanyak 5,455 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala baki sebanyak 16,884 orang lagi melibatkan anggota tentera berserta pasangan masing-masing.

Bagi memastikan kelancaran proses pengundian tersebut, SPR telah menyediakan sebanyak 38 buah pusat mengundi awal yang mengandungi 70 saluran secara keseluruhannya.

“Daripada jumlah pusat mengundi tersebut, 30 buah premis telah dikhususkan sebagai pusat mengundi PDRM, sementara lapan buah pusat mengundi lagi dibuka untuk kemudahan anggota tentera,

“Waktu penutupan bagi pusat-pusat mengundi awal ini ditetapkan berbeza-beza mengikut keperluan lokaliti, dengan 18 buah pusat mengundi akan ditutup seawal jam 12.00 tengah hari,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan SPR pada pagi tadi.

Selain itu, dua buah pusat mengundi dijadualkan tamat beroperasi pada jam 2.00 petang, manakala baki 18 buah pusat mengundi lagi akan ditutup sepenuhnya pada jam 5.00 petang.

Dalam hantaran yang sama, SPR turut menasihatkan para pengundi awal agar membuat semakan maklumat pengundian mereka terlebih dahulu menerusi portal rasmi di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my.

Kredit Foto: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi