Diterbitkan pada 28 Julai 2026, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal melancarkan Program Reformasi Sekolah bermula pada minggu hadapan dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00 ribu bagi setiap sekolah yang terlibat pada peringkat daerah.

Demikian inti ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama-sama Warga Kementerian  yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, pagi tadi.

Menurut beliau, sebanyak 10 buah sekolah, merangkumi lima buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah diangkat sebagai sekolah terbaik di daerah masing-masing.

“Kita melihat masing-masing sekolah  cukup bersemangat kerana tawaran KPM adalah sehingga RM100,000.00 ribu untuk setiap sekolah melakukan perubahan serta reformasi pendidikan dengan jauh lebih baik,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun, YB Fadhlina Sidek menegaskan  bahawa pelaksanaan reformasi sekolah ini tidak boleh diambil kira sebagai “jalan singkat” atau sekadar berorientasikan perubahan fizikal semata-mata.

Jelasnya, penyelenggaraan prasarana sekolah seperti pemasangan pendingin hawa atau menyediakan papar pintar di dalam kelas bukalah suatu takrifan sebenar kepada reformasi pendidikan yang dihasratkan oleh KPM.

“Reformasi sekolah yang hakiki ialah perubahan budaya, perubahan ekosistem, dan perubahan mentaliti yang harus digarap oleh seluruh warga sekolah untuk menaikkan martabat sekolah menjadi medan pendidikan yang terbaik.

“Inisiatif berkenaan turut merangkumi perubahan cara kerja, berfikir, dan melaksanakan tanggungjawab termasuk soal kaedah mengajar, kesihatan mental, penanganan isu buli, serta memastikan kesejahteraan dipasak dalam diri setiap warga sekolah,” jelasnya lagi.

Selain itu, YB Fadhlina Sidek memaklumkan peluncuran Garis Panduan Sekolah Selamat dan Polisi Pelajar oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan mendapat kepercayaan penuh masyarakat.

Bagi melengkapi usaha berkenaan, KPM turut memperkenalkan program NEKAT, iaitu usaha kesinambungan kepada inisiatif PAKAT (prasekolah) dan TEKAT (Rancangan Pendidikan Malaysia).

Program NEKAT dirangka khas untuk mengasuh nilai empati, keprihatinan, dan sikap ihsan dalam diri murid terhadap rakan-rakan serta masyarakat sekeliling.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap ketersediaan infrastruktur persekolahan bagi menyambut kemasukan baharu murid prasekolah berusia enam tahun dan Tahun 1 pada tahun hadapan.

“Projek naik taraf dan pembinaan prasarana kini berada pada tahap cemerlang apabila berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal”. katanya.

Mengulas mengenai pendaftaran murid, beliau menegaskan bahawa KPM menerima sambutan dan pertanyaan amat menggalakkan daripada ibu bapa mengenai pendaftaran tersebut.

“KPM komited memastikan unjuran serta proses pendaftaran dikemas kini secara teratur demi kelancaran pengurusan bagi sesi 2027 dan tahun mendatang,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Fadhlina Sidek menggesa ibu bapa untuk memantau dan memanfaatkan penebusan baucer buku MADANI bernilai RM100 yang diperuntukkan kepada anak-anak mereka.

KPM memberikan penekanan khusus kepada pemilihan bahan bacaan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta karya agung Sasterawan Negara bagi memastikan generasi muda didedahkan dengan karya sastera bernilai seperti naskhah drama Layar Karang Si Tanggang karya Sasterawan Negara (SN) YBhg. Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Yang turut hadir dalam majlis perhimpunan tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Pendidikan, YBrs. Dr. Azam Ahmad; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta barisan pegawai KPM.

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi