Diterbitkan pada 28 Julai 2026, 19:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem pendidikan negara merupakan elemen utama dalam mentransformasikan era digital dan kecerdasan buatan (AI), selain mempertahankan prinsip keadilan akses pendidikan agar tidak berlaku kesenjangan antara masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat bersempena dengan Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama-sama Warga Kementerian Pendidikan di Auditorium Kompleks E, hari ini.

Mengulas pelaksanaan dasar baharu KPM, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memetik teori sosiologi, iaitu “Propensity to Change, and Resistance to Change” dengan menepis pandangan bahawa golongan elit sentiasa terbuka kepada pembaharuan, manakala masyarakat desa menolak kemajuan pembangunan.

“Tentangan terhadap pembaharuan kerap muncul daripada kelompok elit apabila amalan, kedudukan, ataupun kepentingan tradisi mereka dicabar, khusus dalam aspek tatakelola dan ketelusan. Sebaliknya, masyarakat pedalaman inginkan perubahan sekiranya diberikan pendedahan dan penerahan secara berhikmah,” jelasnya.

Dalam aspek kebahasaan, beliau turut menegaskan bahawa pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu wajib dikuasai oleh seluruh pelajar tanpa mengira aliran persekolahan.

“Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris perlu terus diperkasakan bagi meletakkan Malaysia pada peringkat antarabangsa. Masyarakat perlu bersifat lebih inklusif dan lapang dada terhadap pembelajaran bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab, bahasa Perancis dan bahasa Rusia yang kini menjadi keutamaan kepada ekonomi serta geopolitik dunia,” tambahnya.

Menyentuh tentang isu jurang pendidikan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para penggubal dasar agar sentiasa peka supaya ledakan tenkologi digital tidak memberikan kesenjangan sosioekonomi masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa falsafah keadilan kerajaan MADANI pada masa ini berteraskan prinsip keadilan berasaskan kesaksamaan oleh John Rawls.

“Amalan meritokrasi tanpa mengambil kira jurang kemudahan tidak memberikan kesaksamaan kepada anak-anak di pedalaman seperti di Kapit, Sarawak atau Manek Urai, Kelantan yang memerlukan sokongan setimpal untuk terus berdaya saing dengan sekolah ternama di bandar,” tambahnya lagi.

Mengakhiri amanat, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan penting mengenai sistem pendidikan Tingkatan 6 di seluruh negara menerusi pemberian bantuan sebanyak RM150.00 kepada lebih 30,000 pelajar Tingkatan 6 di seluruh sekolah kerajaan, sekali gus merapatkan jurang bantuan sebelum ini.

Sementara itu, kerajaan juga memutuskan untuk mengekalkan pengurusan Tingkatan 6 di bawah naungan KPM daripada memindahkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Walau bagaimanapun, pihak sekolah diarahkan untuk mewujudkan pentadbiran khas yang diasingkan merangkumi blok bangunan, kawalan disiplin, serta perhimpunan berasingan bagi mengangkat status dan martabat mereka sebagai pelajar prauniversiti,” tambahnya lagi.

Perhimpunan hari ini turut disemarakkan dengan kempen “Jom Membaca” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memupuk minat serta menyemai budaya membaca seawal peringkat prasekolah.

 

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa sedang menyantuni murid prasekolah.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengunjungi reruai DBP dengan diiringi oleh YB Fadhlina Sidek.
Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi