Diterbitkan pada 21 Februari 2022, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kolokium dan festival pendidikan pada kali ini turut mempromosikan pusat tingkatan enam kepada masyarakat selaras dengan matlamat memperkasakan institusi pendidikan negara.

Kuala Lumpur – Bertemakan Kreativiti dan Inovasi Melestarikan Kecemerlangan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada hari ini melangsungkan Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan kali kelima dan Festival Pendidikan Kebangsaan kali ketiga secara dalam talian.

Dalam kolokium yang berlangsung selama tiga hari yang bermula pada hari ini hingga 23 Februari 2022, sebanyak 74 orang warga pendidik akan membentangkan kertas kerja masing-masing.

Melihat cabaran pendidikan masa kini, penganjuran program ini dengan temanya “Kreativiti dan Inovasi Melestarikan Kecemerlangan Pendidikan” sangat bertepatan dengan hasrat KPM ke arah memartabatkan profesion keguruan, khususnya di pusat tingkatan enam,” ucap YBhg. Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sewaktu merasmikan kolokium tersebut secara dalam talian.

YBhg. Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Beliau turut menjelaskan bahawa penjenamaan semula tingkatan enam merupakan antara satu daripada inisiatif KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025. Hal ini bertujuan untuk memperbaik dan meningkatkan kualiti pendidikan melalui pelaksanaan kajian tindakan terhadap amalan pengajaran bagi mengatasi masalah pembelajaran murid.

KPM amat prihatin dalam memastikan penawaran pendidikan tingkatan enam yang berkualiti kepada murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kelestarian tenaga pengajar yang mempunyai daya profesionalisme yang tinggi setaraf dengan prauniversiti.”

“Perkara ini boleh dihasilkan melalui inovasi dan kreativiti para guru dalam memastikan proses pembelajaran berlaku mengikut kebiasaan baharu tatkala pascapandemik COVID-19 datang melanda.

“Platform perkongsian amalan terbaik ini juga dapat memberikan galakan ke arah transformasi penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi memenuhi keperluan pembangunan sumber manusia masa hadapan,” ujar beliau.

Prof. Madya Dr. Melor Md. Yunus, Timbalan Dekan Pendidikan dan Inovasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Melor Md. Yunus, Timbalan Dekan Pendidikan dan Inovasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata,

Kreativiti dan inovasi merupakan dua perkara yang sangat diperlukan dalam semua bidang kehidupan manusia, sama ada yang berkaitan dengan urusan kehidupan atau kerjaya. Kedua-dua elemen ini memberikan impak yang besar kepada kemajuan seseorang individu dan organisasi, apatah lagi dalam mentransformasikan PdP bagi tingkatan enam.

Selain itu, YBhg. Datuk Hjh. Nor Zamani turut menegaskan bahawa guru-guru hendaklah bersikap terbuka dalam mendepani cabaran, seterusnya menjadi ejen perubahan pendidikan ini dan sentiasa bersikap proaktif dengan membudayakan penyelidikan ke arah peningkatan profesionalisme keguruan.

“Ini merupakan titik permulaan ke arah pendigitalisasi bagi membuka lembaran baharu dalam memartabatkan murid tingkatan enam setaraf dengan prauniversiti, di samping memantapkan jaringan dan kerjasama pihak universiti dan agensi dalam memberikan keyakinan tentang kebolehpasaran lepasan tingkatan enam,” jelas beliau menyatakan hasrat KPM dalam memenuhi keperluan ekosistem pendidikan semasa.

Mengakhir ucapan perasmian majlis tersebut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM kerana berjaya menganjurkan Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan kali kelima dan Festival Pendidikan Kebangsaan kali ketiga.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi