27 Mac 2024, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) telah berlangsung pada 29 Februari 2024 hingga 2 Mac 2024. Ramai yang menanti hala tuju baharu pembangunan ekonomi bumiputera. Hak dan keistimewaan bumiputera jelas termaktub dalam Perkara 153 dalam Perlembagaan yang mengesahkan agenda membangunkan ekonomi bumiputera adalah berperlembagaan. Sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 1971, agenda ekonomi bumiputera kekal dalam dasar pembangunan negara, walaupun dalam nada penegasan yang berbeza.

Polisi afirmatif mesti mempunyai matlamat dan tata kelola yang baik. Agenda ekonomi bumiputera ialah satu bentuk polisi afirmatif yang mempunyai merit ekonomi yang kukuh. Secara umumnya, polisi afirmatif menyasarkan “kepinggiran” pembangunan dan kemajuan satu kelompok masyarakat atau wilayah. Semua rakyat yang terpinggir mesti dibela tanpa mengira bumiputera atau sebaliknya.

Kuasa ekonomi bersandarkan merit semata-mata ideal sekiranya semuanya berada di garisan permulaan yang sama untuk bersaing. Namun realitinya tidak begitu. Bumiputera terpinggir jauh pada awal proses pembangunan negara. Tidak dinafikan banyak kemajuan yang dicapai oleh bumiputera. Namun “peminggiran” ini masih ada. Bumiputera merupakan 70% daripada penduduk Malaysia. Walaupun menjadi majoriti penduduk tetapi golongan bumiputera menjadi minoriti dalam ekonomi.

Lima buah negeri yang mempunyai penduduk populasi bumiputera yang tinggi (80 peratus dan ke atas) malangnya menunjukkan ekonomi yang tumbuh dengan perlahan, berpendapatan isi rumah yang rendah dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Statistik juga menunjukkan golongan bumiputera merupakan kumpulan terbesar dalam isi rumah berpendapatan rendah B40 dan miskin mutlak. Malah sejak tahun 1970, pendapatan isi rumah bumiputera kekal yang terendah berbanding dengan kaum Cina dan India.

Agenda bumiputera mesti berteraskan model pembangunan yang jelas, mempunyai sasaran matlamat yang terperinci, boleh diukur serta didukung oleh tata kelola yang rapi. Pelaksanaan dan pemantauan kemajuan secara berkala perlu diteliti. Menjadi tanggungjawab dan akauntabiliti kepada kerajaan yang memerintah. Kejelasan matlamat dan kebersamaan institusi menjadi pertimbangan semasa dalam usaha membangunkan ekonomi bumiputera.

Matlamat, Strategi dan Kayu Ukur

Apakah matlamat, fokus, strategi dan kayu ukur kemajuan ekonomi bumiputera? Pelbagai jawapan muncul. Ada yang mengukur kemajuan ini dari segi pemilikan hartanah, keluasan tanah rizab Melayu, pendapatan isi rumah, tahap kemiskinan, pencapaian pendidikan, tahap keusahawanan dan pelibatan dalam bidang profesional. Ada juga yang masih hanya berpegang kepada sasaran ekuiti sebanyak 30 peratus.

Tiada pelan, fokus dan strategi induk bagi pembangunan ekonomi Bumiputera yang dipegang oleh semua. Tiada koordinasi dan kebersamaan matlamat. Tiada pangkalan data dan program kajian khusus untuk pembangunan ekonomi bumiputera. Yang tinggal hanyalah pelaporan Jabatan Perangkaan yang umum sifatnya. Maka itu, memaknakan dan mendalami agenda Bumiputera khusus berkaitan dengan kemenjadian modal insan memerlukan keterlibatan semua pihak untuk mendapatkan input dan menyusun kaedah serta idea yang lebih segar, kritis dan praktikal.

Tiada Pemantauan, Tiada Pelaporan?

Susulan dari Mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) pada 29 Ogos 2013 dan Majlis Pemerkasaan Bumiputera pada 14 September 2013, Pekeliling Am Bil. 5 Tahun 2013 mengarahkan penubuhan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di semua kementerian. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan pada 5 Oktober, 2019 hanya memberikan empat halaman (halaman 9-01 hingga halaman 9-04) untuk agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dalam Bab 9: Keberhasilan Bumiputera. WKB dianggap tidak bermaya, bahkan satu halaman 9.04 semuka penuh dengan hanya potret petani tua Melayu.

Susulan Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) pada 18 November 2021, satu lagi pekeliling am (Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 2022) dikeluarkan yang mengarahkan penubuhan unit yang serupa, Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) agar ditubuhkan di semua kementerian. Perkara ini sepertinya mengulangi arahan pekeliling sebelum itu. Apakah yang telah terjadi pada UPB? Tiada siapa yang tahu dan jarang sekali kedengaran.

Membugarkan Semula Agenda Pembangunan Ekonomi Bumiputera

Satu model induk yang dipegang oleh semua pemegang taruh diperlukan bagi memayungi hala tuju pembangunan ekonomi bumiputera. Perkara ini adalah untuk menjelaskan pendekatan baharu kerajaan untuk menggerakkan agenda berperlembagaan ini. Terdapat cadangan sebuah kerangka baharu (3P) bagi menaungi agenda bumiputera.

Model 3P ini berpaksikan kepada tiga teras pembangunan yang bertujuan untuk menghasilkan kejayaan pembangunan ekonomi bumiputera yang mampan. Tiga teras utama tersebut ialah seperti yang berikut:

  1. Penyertaan: Perkara pokok yang perlu dititikberatkan ialah berkaitan dengan keupayaan bumiputera untuk menyertai kerancakan ekonomi. Tahap dan kualiti pendidikan dan kemahiran mesti menjadi teras utama pembangunan bumiputera. Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa, golongan bumiputera berisiko untuk ketinggalan. Terkini, hanya 29 peratus daripada tenaga kerja bumiputera dikategorikan sebagai pekerja mahir. Sebahagian besar yang lain (62 peratus) pula ialah pekerja separa mahir. Akses kepada pendidikan semakin baik pada hari ini, namun cabaran paling utama ialah kualiti pendidikan dan kemahiran bumiputera. Apakah kualiti tenaga kerja bumiputera pada hari ini?
  2. Pemilikan: Penciptaan kekayaan (wealth) pada hari ini memerlukan bumiputera terlibat secara meluas, bukan sahaja menjadi pekerja tetapi juga menjadi pemilik perusahaan sendiri. Pemilikan perniagaan memerlukan daya keusahawanan yang tinggi. Bukan semua yang berpendidikan mempunyai daya keusahawanan. Strategi untuk “memanjat tangga” keusahawanan daripada perusahaan mikro, kecil, sederhana dan besar mesti menjadi sasaran teras pemilikan bumiputera. Hal ini mestilah selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menyasarkan aktiviti ekonomi yang canggih, berteknologi tinggi dan pekerjaan berkemahiran tinggi. Pelibatan usahawan bumiputera dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi perlu ditingkatkan. Bumiputera mesti menjadi pemain global yang berdaya saing. Apakah status usahawan bumiputera pada hari ini?
  1. Penguasaan: Kemuncak kepada kejayaan ekonomi bumiputera ialah penguasaan. Penguasaan melambangkan daya saing yang tinggi dan dominasi bumiputera dalam sektor ekonomi secara meluas. Setiap sektor ekonomi mencakupi aktiviti rantaian yang luas. Sebagai contohnya dalam sektor kesihatan, perlunya ada doktor am, doktor pakar, klinik, hospital, kolej perubatan, teknologi perubatan dan sebagainya. Pemilikan bumiputera masih rapuh sekiranya kekal bersendirian, kecil-kecilan dan bertaburan. Sifat pemilikan seperti ini dilihat tidak strategik dalam rantaian nilai sesebuah sektor ekonomi.  Penguasaan memerlukan kehadiran bumiputera yang jelas dan kukuh, mendominasi setiap peringkat rantaian bekalan dan perkhidmatan. Perlu ada perancangan strategik untuk golongan bumiputera meningkatkan penguasaan dalam sektor ekonomi. Sektor manakah yang memperlihatkan potensi penguasaan bumiputera?

Kemuncak kejayaan pembangunan ekonomi bumiputera yang mampan ialah apabila tiga elemen ini, iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dapat berlaku serentak. Setiap satu teras ini memerlukan tindakan yang strategik dari banyak pihak. Model 3P memerlukan kebersamaan matlamat dan koordinasi dari pelbagai pihak. Setiap satu mesti dipantau dan diukur: Di manakah kita sekarang? Ke manakah hala tuju yang ingin kita capai?

Sewajarnya sebuah Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera ditubuhkan bagi mewujudkan pangkalan data, melaksanakan kajian dan analisis data yang dapat menilai kemajuan ekonomi serta meneliti cabaran yang dihadapi oleh golongan bumiputera.

Sebuah pasukan yang berdedikasi, sama ada baharu atau agensi sedia ada, perlu diberikan mandat yang kuat untuk menyelaras pelbagai agensi pelaksana dan melaporkan status yang berkaitan kepada Perdana Menteri. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebetulnya menjadi majlis tertinggi bagi pemerkasaan agenda pembangunan ekonomi bumiputera. Sekiranya bumiputera yang merupakan 70 pearuts daripada populasi rakyat di Malaysia berjaya, pasti seluruh Malaysia akan merasa tempiasnya. Penyertaan-pemilikan-penguasaan bumiputera mampu mengukuhkan ekonomi bumiputera.

Apakah Langkah Seterusnya?

KEB boleh menghasilkan “skrip ekonomi” sebagai panduan kepada kerajaan atau individu. Namun begitu, skrip juga memerlukan hero atau pelaksananya seperti usahawan yang luar biasa. Tanpa susuk ini, hasil yang ketara sukar dilihat. Sebagai contohnya, kita ada beberapa syarikat peneraju bumiputera seperti Ramly Burger, Al-Ikhsan, Sapura dan lain-lain. Orang yang berjaya adalah orang yang banyak memberikan manfaat kepada orang lain dan menjayakan orang lain. Adakah mereka ini berjaya kerana mendapat panduan daripada skrip ekonomi atau berjaya atas usaha sendiri?

Sebenarnya, permasalahan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Bertahun kita mengulang perkara yang sama. Pelbagai dokumen hala tuju, pelan induk dan pemetaan telah dihasilkan. Oleh itu, kita perlu segera menanganinya. Setidak-tidaknya melaksanakan apa-apa yang digariskan dalam pelan yang dilancarkan. Kita juga harus berlaku jujur dalam mengukur pencapaian. Jika tidak negara seolah-olah mengalami “The Ostrich Effect”.

 *The Ostrich Effect ialah terma yang digunakan bagi menggambarkan sebuah situasi di mana maklumat yang negatif (seperti maklum balas negatif atau pencapaian yang buruk) disembunyikan dan tidak dibincangkan. Perkara ini menyebabkan pembaikan atau pemantauan yang lebih baik terhadap prestasi tidak dapat dilaksanakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.