16 Jun 2024, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ibu kepada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, iaitu YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor yang juga merupakan balu Allahyarham YBhg. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9.30 pagi, hari ini.

Berita pemergian Allahyarhamah dikongsi menerusi hantaran laman rasmi Facebook YB Fadhlina Sidek.

Allahyarhamah  merupakan seorang insan yang banyak berjasa kepada nusa, seorang pendidik bangsa dan seorang aktivis masyarakat sejak zaman muda hingga akhir usianya.

Allahyarhamah merupakan bekas pensyarah di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan antara tokoh wanita Islam yang banyak menyumbang kepada perkembangan undang-undang Islam di Malaysia.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari serta seluruh warga DBP merakamkan ucapan takziah kepada YB Fadhlina Sidek dan seluruh ahli keluarga beliau atas pemergian YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor ke rahmatullah.

YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata,

Selain terlibat secara aktif dalam bengkel dan persidangan yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, sumbangan Datin Dr. Siti Zalikhah dalam dunia penerbitan juga tidak dapat dinafikan kepentingannya.

Antara buku beliau yang pernah diterbitkan oleh DBP termasuklah Sejarah dan Perkembangan Undang-undang Islam di Negeri Selangor (Teks dan Ulasan) serta Siri Al-Syariah sebanyak lima jilid yang merangkumi konsep dan perundangan Islam, fikah jenayah, fikah munakahat dan lain-lain lagi.

Lima Jilid Siri Al-Syariah, terbitan DBP yang ditulis oleh YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor.

Tambah beliau lagi,

Usaha beliau dalam menyerbarluaskan ilmu berkaitan dengan undang-undang Islam melalui penerbitan buku dalam bahasa kebangsaan pasti akan terus dapat dimanfaatkan oleh masyarakat sampai bila-bila.

Terdahulu, pada 13 Jun 2024, Allahyarhamah dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang lewat tengah malam dan menerima rawatan rapi oleh pasukan perubatan yang memberikan tumpuan untuk menstabilkan tekanan darah Allahyarhamah.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama isteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail hadir bagi menunaikan solat jenazah di Surau Al-Mujahidin Taman Desa Surada, Bangi, pada tengah hari ini.

Menurut mantan Penolong Editor Bahagian Buku Umum, DBP, Encik Mohd Zuhaili Mat Junoh yang pernah berurusan dengan beliau untuk penerbitan buku, YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor seorang yang gemar menulis dalam bidang perundangan Islam. Jelas beliau,

Selepas buku Sejarah dan Perkembangan Undang-undang Islam di Negeri Selangor: Teks dan Ulasan dan Siri Undang-undang dan Masyarakat: Dapatan Diwarisi, dan Carian Dibahagi diterbitkan oleh DBP, beliau berhasrat untuk menulis buku tentang hukum-hakam pertunangan dan poligami; dan sejarah dan perkembangan undang-undang Islam di negeri Perak.

YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah juga pernah berhasrat untuk menerbitkan buku tentang mungkir janji untuk berkahwin dan fikah orang sakit untuk diterbitkan oleh DBP.

Editor Kanan Bahagian Buku Umum, DBP, Puan Marsilawati Mohamad Rani pula menyatakan bahawa Bahagian Buku Umum cuba mengatur pertemuan dengan beliau untuk membincangkan tentang penerbitan buku, namun tidak kesampaian lantaran keuzuran beliau.

Mengenang jasa YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah, Puan Siti Maizatul Rozihani Ikhsan yang juga merupakan Editor Kanan Bahagian Buku Umum, DBP, yang terlibat secara langsung dalam penerbitan buku beliau menjelaskan,

Mengenali Ustazah Datin Dr. Siti Zalikha Md Nor sebagai seorang penulis yang prolifik banyak memberikan pengalaman yang berharga. Tutur katanya yang penuh hikmah dan dihiasi dengan senyuman manis sesuai dengan kedudukannya sebagai wanita terhormat, berbudi pekerti dan berilmu. Saya percaya, komitmen dan usaha keras beliau dalam menghasilkan karya dalam bidang undang-undang Islam telah dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan menjadikan karyanya sebagai rujukan autentik. Semoga sumbangan beliau ini menjadi amal jariah yang dikurniakan pahala berpanjangan.

Jenazah Allahyarhamah YBhg. Datin Dr. Siti Zalikhah disembahyangkan di Surau Al-Mujahidin Taman Desa Surada, Bandar Baru Bangi serta dikebumikan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.