20 Jun 2024, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengadakan Forum Angkatan Sukarela Malaysia bersempena dengan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah yang ke-66 di Perlis pada 28 Jun 2024 ini.

Forum bertajuk Whole Of Government, Whole Of Society (WOGOS) tersebut bakal berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dijadualkan berangkat bagi menyempurnakan majlis perasmian program yang dilaksanakan selama separuh hari dengan kerjasama pihak UniMAP sebagai rakan strategik utama penganjurannya.

Tuanku Pemangku Raja bertitah mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama tampil ke hadapan memberi komitmen dan mengambil tanggungjawab khususnya kepada TDM bagi memastikan segala usaha yang dilaksanakan ini dapat dimanfaatkan dan diwarisi oleh generasi akan datang dengan matlamat utama, iaitu ‘Malaysia Selamat, Berdaulat dan Makmur’.

Titah baginda,

Cabaran geopolitik dan strategik serantau, ketidaktentuan hubungan kuasa besar di rantau Asia Pasifik dan juga pergolakan di Timur Tengah, cabaran kejiranan Asia Tenggara yang kompleks, ekstremisme, ancaman siber, perubahan iklim yang mencetuskan bencana alam mewajarkan setiap negara untuk merangka strategi secara konstruktif bagi mendepani situasi.

Untuk rekod, WOGOS merupakan pendekatan agensi perkhidmatan awam bekerjasama melintasi sempadan portfolio untuk membangunkan dasar integrasi dan program untuk pencapaian matlamat bersama.

Menurutnya, usaha memperkasa WOGOS ini juga merupakan pendekatan yang lebih luas dengan melangkah jauh melampaui pihak berkuasa awam yang melibatkan semua pihak berkepentingan yang relevan, termasuklah individu, keluarga, komuniti, organisasi antarabangsa, institusi keagamaan, masyarakat sivil, akademik, media, pertubuhan sukarela, sektor swasta dan industri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.