Oleh Syaza Wardina
20 Jun 2024, 20:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Bakap – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek merasmikan Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), yang melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik.

Majlis peluncuran tersebut yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap pada pagi tadi merupakan anjuran IPGM dan SK Sungai Bakap sebagai jawatankuasa bersama.

Antara rakan strategik yang lain termasuklah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Prai Selatan.

Menurut YB Fadhlina, Sekolah Pengajar memberikan peluang kepada pensyarah IPGM dan guru sekolah bekerjasama menguji inisiatif dan formula pedagogi, khususnya pedagogi yang berkaitan dengan isu pembelajaran murid.

“Program Sahabat Bahasa pula merupakan satu pendekatan bimbingan dinamik antara rakan secara santai,” katanya menerusi hantaran Facebook, tengah hari tadi.

Jelas beliau, pendekatan Sahabat Bahasa memberikan tumpuan kepada prinsip penguasaan komunikasi bahasa Melayu dengan fasih dan bertutur bahasa Inggeris dengan yakin secara santai terutamanya dalam kalangan murid.

Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan aktiviti Majalah Dalam Kelas Dewan Pelajar bersempena dengan Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris: Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, pagi ini.

Dalam program Sekolah Pengajar dan MBMMBI: Sahabat Bahasa IPGM pada hari ini, DBP melalui Bahagian Majalah melaksanakan aktiviti Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Pelajar yang bertujuan untuk memperkenalkan bahan bacaan bahasa Melayu, khususnya majalah Dewan Pelajar secara langsung kepada murid bagi menarik minat mereka mendekati majalah terbitan DBP bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.

Program ini juga memberikan kefahaman dan penerangan yang efektif tentang penggunaan majalah Dewan Pelajar dengan menjelaskan ruangan yang dimuatkan dalam majalah tersebut dalam usaha mengajak murid berkarya dan memanfaatkan bahan bacaan berkualiti menerusi majalah.

Pada masa yang sama, MDK Dewan Pelajar turut memberikan ruang komunikasi dua hala antara pembaca dengan pihak editorial selain mewujudkan suasana interaktif melalui pelibatan murid dalam aktiviti secara berkumpulan seperti “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa”, “Bina Perkataan” dan “Kuiz Menara Belon”.

Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Integrasi Khas (PPKI) SK Sungai Bakap, Encik S. Sarghuna Rao.

Menurut Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Integrasi Khas (PPKI) SK Sungai Bakap, Encik S. Sarghuna Rao, penganjuran program pada hari ini sangat menarik dan banyak informasi yang diperoleh oleh murid dan guru.

Yang paling menarik ialah aktiviti yang disertakan dengan permainan kerana itulah minat murid – mereka ingin bermain sambil belajar.

“Selain itu, kita dapat melihat bahawa tingkah laku murid juga berlainan, apabila mereka memberikan tumpuan dan menunjukkan minat yang lebih terhadap pembelajaran yang disertakan dengan permainan, berbeza daripada keadaan ketika sesi pembelajaran biasa,” jelasnya ketika diwawancara oleh pihak DBP di Laman PPKI, SK Sungai Nibong, tengah hari tadi.

“Sebagai guru PPKI, kami lebih menjurus kepada pendidikan berbentuk permainan bagi menarik minat murid untuk belajar, dan elemen ini yang akan terus diterapkan dalam pembelajaran pada masa akan datang,” ujarnya.

Program MDK Dewan Pelajar pada hari ini berlangsung selama tiga jam, bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan melibatkan sebanyak 30 orang murid tahun empat dari SK Sungai Bakap.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.