20 Jun 2024, 20:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Bakap – Dalam usaha memastikan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dapat terus dipertingkat, program Sekolah Pengajar akan digerakkan di seluruh negara dengan melibatkan sekolah terpilih.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmian Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap berkata, program tersebut selaras dengan reformasi pendidikan yang sedang digerakkan pada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di SK Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Dalam enam reformasi pendidikan tersebut, satu daripadanya ialah usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris, sekali gus menjadikan program yang dilaksanakan pada hari ini berjaya menyahut agenda reformasi pendidikan berkenaan.

Menurut beliau, fungsi Sekolah Pengajar adalah untuk memperkasakan kompetensi pendidik, khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran kontemporari dalam kalangan siswa guru, pensyarah dan guru ke arah pembangunan karakter serta pendidikan manusiawi.

Idea baharu dan inovasi pendidikan yang menjadi amalan profesionalisme warga Institut Pendidikan Guru (IPG) seharusnya dapat dilaksanakan pada peringkat sekolah terpilih dengan adanya Sekolah Pengajar yang memberikan peluang kepada pensyarah IPG dan guru sekolah berkolaborasi, menguji inisiatif dan formula pedagogi, khususnya pedagogi yang berkaitan dengan isu pembelajaran murid.

Jelas beliau, kolaborasi berkenaan adalah sangat penting kerana IPG mempunyai keupayaan untuk melahirkan guru yang terlatih dan kerjasama antara Sekolah Pengajar dengan sekolah terpilih akan menjadikan rangkaian sinergi dalam aspek pedagogi dapat diperkukuh.

Siapa lagi yang lebih memahami, siapa lagi yang lebih pakar, siapa lagi yang mempunyai kelebihan untuk memahami keseluruhan aspek pembelajaran kalau bukan daripada pihak IPG sendiri?

Sekitar Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia berlangsung.

Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa ruang dan peluang yang baik harus digunakan dengan sebaik-baiknya untuk terus memperbaik kaedah pengajaran, pedagogi dan aspek pembelajaran dengan memastikan pihak IPG dapat turut serta ke sekolah terpilih dan menjadikan sekolah yang terlibat sebagai Sekolah Pengajar bagi memastikan peningkatan kualiti dalam pendidikan.

Sejajar dengan reformasi pendidikan KPM, pelaksanaan program Sahabat Bahasa yang menggunakan pendekatan rakan bimbing yang santai diyakini dapat meningkatkan semangat kekitaan sebagai warga Malaysia, sekali gus memberikan tumpuan kepada prinsip menguasai komunikasi bahasa Melayu dengan fasih dan bertutur bahasa Inggeris dengan yakin, terutamanya dalam kalangan murid.

Ujar beliau, penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang terampil dengan menggunakan pendekatan yang santai penting supaya rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan fasih dan yakin dalam kedua-dua bahasa secara seiring.

Inilah iltizam, komitmen dan reformasi yang sedang dilaksanakan oleh KPM untuk memastikan anak-anak dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik selaras dengan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris yang seharusnya berjalan seiring dan tidak meninggalkan mana-mana aspek penting.

Beliau juga menyatakan bahawa program Sekolah Pengajar di seluruh Malaysia merupakan suatu tindakan yang sangat signifikan kerana Sekolah Pengajar IPG telah memberikan banyak sumbangan, khususnya dalam membina kompetensi pendidikan negara.

IPGM merupakan peneraju bagi program yang dilaksanakan pada hari ini dan SK Sungai Bakap sebagai jawatankuasa bersama-sama rakan strategik lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan.

Program Majalah Dalam Kelas Dewan Pelajar, Bahagian Majalah, DBP merupakan satu daripada program yang menyahut agenda reformasi pendidikan KPM dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Rektor, Institut Pendidikan Guru Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, YBhg. Dato’ Haji Abdul Muie Ngah; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Abdul Said Hussain; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh; Ahli Majlis Pengetua dan Guru Besar, pihak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta; warga sekolah sekitar PPD Seberang Perai Selatan dan ahli komuniti lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.