22 Jun 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68 yang berlangsung di SMK Seri Nibong pada hari ini.

Nibong Tebal – Dalam menginjak usia 68 tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus teguh memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu agar kekal relevan dalam konteks pembinaan tamadun negara.

Tarikh keramat 22 Jun 1956 menjadi saksi kepada penubuhan organisasi itu atas desakan kesaktian lidah rakyat yang menuntut keistimewaan citra bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dr. Dato’ Anwar Ridhwan, DBP mengambil pendekatan yang berbeza ketimbang sambutan ulang tahun DBP pada tahun-tahun sebelum ini.

Dengan mengangkat tema “Kesaktian Lidah Rakyat”, majlis perasmian berkenaan diadakan di luar premis DBP bagi memberikan pendekatan tentang program kebahasaan secara langsung kepada masyarakat.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Jelas SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan,

Penganjuran ini merupakan satu daripada usaha berterusan untuk memastikan citra DBP yang menjadi tiang seri dalam pembinaan tamadun bangsa dipandang tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Hal ini menunjukkan bahawa DBP sentiasa merakyatkan agenda memperkasakan bahasa, sastera dan persuratan Melayu agar bersifat terangkum kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tambah beliau,

DBP akan terus menjadi pencetus dan penggerak bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai intelek, minda terbuka dan bersatu padu melalui bahan penerbitan dan program berkaitan dengan bahasa dan sastera Melayu yang dilaksanakan.

Bertepatan dengan naratif kerajaan Malaysia MADANI, beliau menyeru warga DBP agar menekuni nilai MADANI serta bersikap telus dan berintegriti serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada orang awam.

Menerusi amanatnya, beliau juga berharap agar seluruh warga DBP dapat mengoptimumkan fungsi jentera sebagai nadi penggerak dalam mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh sebagai wasilah tamadun negara.

Ujarnya lagi,

Sambutan ini bertujuan untuk memberikan pemugaran kepada karyawan DBP agar terus komited serta bergerak secara sederap dalam melaksanakan amanah memperkasakan bahasa, sastera dan persuratan Melayu di negara ini.

Demikianlah ucapan alu-aluan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP pada pagi tadi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah menyempurnakan Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP serta Pelancaran Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan; dan Pelancaran Buku Antologi 68 Puisi Kesaktian Lidah Rakyat dan Himpunan 68 Esei Bahasa Kesaktian Lidah Rakyat.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bersama-sama Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (paling kiri); Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan (dua dari kiri); Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (dua dari kanan) dan Pengetua SMK Seri Nibong, Encik Zulkipli Saleh@Majid (paling kanan) ketika menyempurnakan Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68 serta Pelancaran Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran Buku Antologi 68 Puisi Kesaktian Lidah Rakyat dan Himpunan 68 Esei Bahasa Kesaktian Lidah Rakyat, pada hari ini.

Acara perasmian dan pelancaran itu turut disaksikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan; dan Pengetua SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Encik Zulkipli Saleh@Majid.

Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP dimeriahkan lagi dengan pelbagai program yang diadakan di SMK Seri Nibong, antaranya termasuklah Jualan Buku DBP, Pameran Khidmat Nasihat DBP, Pameran Perkamusan, Pertandingan Eksplorasi Bahasa, Pertandingan Melukis Poster, Program Seronoknya Membaca, Forum Kesaktian Lidah Rakyat, dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

Menerusi majlis tersebut, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan sinergi daripada sektor kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa menyokong usaha DBP sehingga hari ini.

Mengakhiri ucapan, beliau mengakui bahawa pelbagai cabaran yang memerlukan anjakan paradigma perlu dihadapi oleh DBP dalam mendepani kepesatan dunia teknologi pada masa ini.

Kongsi beliau,

DBP perlu berevolusi dan mengadaptasi perubahan dengan cepat untuk terus kekal relevan.

Kepesatan dunia tanpa sempadan melalui penggunaan pelbagai aplikasi dalam talian, impak media sosial, dunia pendigitalan dan terkini teknologi kecerdasan buatan, menjadi cabaran baharu buat DBP agar kedudukan bahasa Melayu tidak tergugat dan terus kukuh menjadi bahasa ilmu kepada semua bidang.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail; ahli Lembaga Pengelola DBP, iaitu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg. Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim; Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), YBhg. Datuk Jasni Matlani;  Penganalisis Politik dan penulis prolifik, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir; dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam. Turut menghadiri majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Abdul Said Hussain; Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Arifin; Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Tuan Haji Ismail Osman; dan Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Encik Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Seri Nibong. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.