22 Jun 2024, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto : Khairul Azhar Baharuddin

Nibong Tebal – Pensyarah di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam sekali lagi mengulangi pendiriannya tentang “dosa” melibatkan nilai moral rakyat di negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sedangkan mereka dilahirkan untuk menjadi warganegara Malaysia.

Jelas beliau, untuk menjadi warganegara Malaysia, tidaklah menghairankan apabila rakyatnya perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu yang telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan dan satu daripada syarat untuk menjadi warganegara Malaysia adalah secara kuat kuasa undang-undang.

“Elakkan menjadi individu berlidah Melayu, tetapi berjiwa Barat,” – Prof. Madya Dr. Ramalinggam.

“Kita sedia maklum bahawa warga asing yang ingin menjadi warganegara Malaysia secara pendaftaran perlu melepasi syarat utama, yakni perlu fasih berbahasa Melayu, apatah lagi rakyat Malaysia yang memang sedari awal lahir di negara ini,” tegas beliau.

“Dosa yang dilakukan itu bukanlah bererti mereka melanggar hukum agama, namun mereka melanggar dari sudut moral yang melambangkan jati diri mereka yang sepatutnya dijadikan amalan teras, yakni dalam aspek bahasa.

Beliau berkata demikian semasa diundang sebagai panel khas dalam program “Bual Bicara Kesaktian Lidah Rakyat” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68 yang diadakan di Dewan Seri Mawar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Bual bicara ini dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Perkamusan, Encik Abdul Ghani Abu.

Prof. Madya Dr. Ramalinggam turut menyentuh tentang Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152 yang telah menetapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Jangan mencabar peruntukan yang telah termaktub dalam Perkara 152,” jelas beliau. Menurutnya, bahasa kebangsaan berfungsi sebagai titik pertemuan yang menyatukan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Tambah beliau lagi,

“Dalam proses pembentukan negara bangsa, bahasa kebangsaan di mana-mana negara sememangnya melambangkan identiti masing-masing. Maka, oleh sebab itulah bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan yang wajar dituturkan dan dihargai oleh semua pihak.”

Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan masyarakat mempelajari sebanyak mungkin bahasa yang ada di dunia, namun tidak sesekali mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan sendiri demi menyerlahkan jati diri masing-masing.

“Jika penuturnya sendiri ada masalah dari segi bahasa, maka bahasa itu akan mati dan jangan salahkan bahasa Melayu jika kita tidak mahir dalam mata pelajaran lain yang menggunakan medium berbahasa Melayu, misalnya dalam aspek pembelajaran di sekolah mahupun di universiti.

Prof. Madya Dr. Ramalinggam turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak menyalahkan DBP jika timbul polemik atau isu bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini.

Beliau berpandangan bahawa tidak adil apabila sesetengah masyarakat menyerahkan tanggungjawab ini kepada DBB semata-mata kerana segala-galanya berbalik kepada jati diri, moral dan sikap diri sendiri.

Menyentuh tentang penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam media sosial, beliau menyarankan agar rakyat di negara ini mengoptimumkan kepentingan media baharu yang ada dengan menggunakan bahasa kebangsaan, di samping berusaha untuk memperbetul kesalahan bahasa yang wujud dalam media sosial.

“Kita mempunyai ilmu dan perlu mengoptimumkan kepentingan media baharu dengan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi tujuan membetulkan kesalahan yang wujud.”

Prof. Madya Dr. Ramalinggam menerima cenderamata sebagai tanda kenangan daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, disaksikan oleh Ketua Pengarah DBP dan Ketua Bahagian Perkamusan DBP.

Mengakhiri bual bicara tersebut, Prof. Madya Dr. Ramalinggam menyifatkan usaha memperkasakan bahasa Inggeris tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, tetapi sikap menidakkan dan meminggirkan bahasa Melayu di negara ini jelas merupakan satu kesalahan moral dan krisis jati diri, sekali gus beliau menggesa pihak berwajib agar bersedia untuk memperkenalkan akta baharu, tanpa sekadar bergantung pada Akta Bahasa Kebangsaan sedia ada.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; ketua bahagian dan ketua editor DBP; para guru dan pelajar sekolah serta orang awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.