22 Jun 2024, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Nibong Tebal – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyeru masyarakat agar menitipkan kesungguhan dalam menggunakan bahasa Melayu dengan penuh kesantunan, kesusilaan dan memberikan penghormatan pada bahasa Melayu itu sendiri bagi mencerminkan diri sebagai individu yang bersopan santun dan berbudi bahasa yang tinggi.

Hal ini disuarakan oleh YB Fadhlina kerana menyifatkan bahasa Melayu merupakan lambang jati diri bangsa yang lahir daripada “Kesaktian Lidah Rakyat”.

“Kesaktian Lidah Rakyat” digambarkan oleh beliau sebagai sebuah metafora ampuh yang menyoroti suara kolektif rakyat dan juga sebagai perlambangan kesaktian bahasa Melayu yang dapat memberikan kesan yang besar kepada masyarakat.

Sekurang-kurangnya ada empat interpretasi kunci yang dapat saya tukilkan daripada ungkapan ini, iaitu yang pertama ‘kekuatan ekspresi kolektif’, yang kedua ‘wahana atau alat perubahan sosial’, yang ketiga ‘cerminan atau refleksi kehendak rakyat’ dan yang keempat ‘simbol ketangguhan dan ketahanan.’

Demikian petikan ucapan Menteri Pendidikan dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Nibong Tebal, hari ini.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek (duduk di tengah barisan hadapan) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan tetamu yang lain dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP di SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Umur 68 merupakan umur yang penuh dengan kesaktian dan saya mengambil kesempatan ini juga merasakan bahawa DBP telahpun melaksanakan segala tanggungjawab dan fungsinya khususnya dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan, sekalung penghargaan buat Dewan Bahasa dan Pustaka.

YB Fadhlina ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Mengimbau kepentingan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam “Wasiat Raja-raja Melayu”, YB Fadhlina turut menjelaskan kepentingan peranan DBP untuk terus memperjuangkan bahasa Melayu yang menjadi salah satu matlamat daripada enam hala tuju kementerian dalam Agenda Reformasi Pendidikan Negara, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dalam majlis tersebut, YB Menteri Pendidikan turut melancarkan Program Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Buku Antologi 68 Puisi Kesaktian Lidah Rakyat dan Himpunan 68 Esei Bahasa Kesaktian Lidah Rakyat, iaitu buku yang menghimpunkan 68 buah puisi daripada karyawan DBP, mantan karyawan DBP dan karya Sasterawan Negara, manakala himpunan 68 esei bahasa pula mengandungi pelbagai tulisan yang pernah disiarkan dalam majalah terbitan DBP, sama ada bercetak mahupun digital.

YB Fadhlina Sidek (tengah) semasa melancarkan Antologi 68 Puisi Kesaktian Lidah Rakyat dan Himpunan 68 Esei Bahasa Kesaktian Lidah Rakyat dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan;  Ketua Pengarah  DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan; Pengetua SMK Seri Nibong; YBrs. Encik Zulkipli Saleh @ Majid, ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan-sasterawan Negara; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah; pengarah-pengarah jabatan, ketua bahagian, ketua editor DBP serta para pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia serta karyawan DBP.

Bersempena dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP ini, pelbagai program telah direncanakan dan dijalankan sepanjang hari termasuklah Program Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk Sekolah Rendah, MDK Sekolah Menengah dan Bengkel MDK untuk Guru; Forum Kesaktian Lidah Rakyat dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang turut menyelitkan slot deklamasi puisi oleh YB Fadhlina Sidek.

Persekitaran SMK Seri Nibong turut diserikan dengan “Laman Sasterawan” yang memaparkan biodata ringkas Sasterawan Negara dan hasil karya mereka bertujuan untuk memperkenalkan serta mengangkat Sasterawan Negara dalam kalangan pelajar sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.