22 Jun 2024, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

DBP mengadakan pelbagai pameran seperti Roda Kata dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang, hari ini.

Nibong Tebal – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), badan yang berautoriti tentang hal kebahasaan menyambut ulang tahunnya ke-68 dengan merakyatkan agenda pemerkasaan bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang, hari ini.

Semenjak ditubuhkan pada 22 Jun 1956, iaitu setahun sebelum mencapai kemerdekaan negara, DBP cukup sinonim dengan sejarah perkembangan bahasa di negara ini, lantas menjadi sebuah organisasi keramat yang memperjuangkan dan memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata,

DBP saban tahun mengadakan sambutan ulang tahunnya sejak pertama kali ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Bukit Timbalan, Johor Bahru hingga kini.

“Alhamdulillah, DBP secara rasminya telah menyambut ulang tahun yang ke-68 di SMK Seri Nibong.

Tambah beliau,

Keunikan pada kali ini, kita memilih untuk berada di luar premis dengan harapan agar keberadaan DBP dapat dirasakan dan dengan falsafahnya untuk memberitahu bahawa tanggungjawab memperkasakan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan itu adalah tanggungjawab bersama, bukannya terletak pada DBP sahaja.

“Kita mahu masyarakat bersama-sama DBP dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seterusnya menjadi bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan bahasa negara.

Pelan Strategik DBP 2021–2025 yang menumpukan tiga teras utama, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara; dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, merupakan asas hala tuju DBP dan usaha melahirkan modal insan yang berupaya untuk mengadaptasi perubahan dan keperluan semasa.

Menyedari akan fungsi yang diamanahkan, beliau mengatakan bahawa majlis itu bukan sekadar untuk memeriahkan suasana semata-mata, namun lebih mengutamakan pendekatan untuk menanam kembali semangat dan rasa cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kongsi beliau dalam sesi temu bual bersama-sama Sidang Editor Dewan Masyarakat pada pagi tadi,

“Setelah 68 tahun DBP ditubuhkan dengan tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu, kita dapati masih ada beberapa masalah yang perlu diselesaikan, terutamanya berkaitan dengan keraguan potensi bahasa Melayu itu sendiri.

“Suara inilah yang menjadi cabaran kepada DBP untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian.

Ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP, Guru SMK Seri Nibong, Puan Nur Hafizah Mohamad berkata bahawa program yang diadakan dalam majlis sambutan ulang tahun DBP amat menarik dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan para guru.

Guru SMK Seri Nibong, Puan Nur Hafizah Mohamad.

Ujar beliau,

Program Majalah Dalam Kelas yang menggunakan saluran didik hibur sangat menarik, malah membantu para guru, khususnya guru subjek Bahasa Melayu dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Misalnya, permainan simpulan bahasa. Aktiviti ini dapat menarik daya tumpuan pelajar untuk menjadi lebih aktif daripada berasa bosan semasa berada di dalam kelas.

Sementara itu, pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tuanku Bainun, Nurul Fazila Hanim Mohd Naim, 19, berpendapat bahawa bahasa Melayu sangat penting dalam usaha memperkukuh identiti negara, selain membina generasi yang bertamadun.

Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tuanku Bainun, Nurul Fazila Hanim Mohd Naim.

Katanya,

Saya sangat berharap agar generasi muda dapat bersama-sama dengan DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan jayanya.

“Inilah bahasa kebangsaan kita. Kita tidak mahu bahasa ini ditelan zaman disebabkan oleh bahasa asing.

“Terima kasih DBP kerana banyak menganjurkan program ilmu dan kebahasaan.

Mengulas lanjut berkaitan dengan majlis itu, sebanyak 600 orang telah hadir ke majlis berkenaan, yakni daripada pelbagai agensi dan sekolah.

Sambutan ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai program yang diadakan, antaranya termasuklah Jualan Buku DBP, Pameran Khidmat Nasihat DBP, Pameran Perkamusan, Pertandingan Eksplorasi Bahasa, Pertandingan Melukis Poster, Program Seronoknya Membaca, Forum Kesaktian Lidah Rakyat, Perlawanan Bola Persahabatan, Program Mewarna, dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.