KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, hari ini berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara. Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi kerajaan, maka Majlis Raja-Raja menggariskan tujuh perkara yang perlu diberikan keutamaan seperti yang berikut:
Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Hal ini untuk membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.
Jangkitan COVID-19 perlu dilandaikan segera.
Vaksinasi merupakan satu-satunya strategi keluar bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok sebanyak 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.
Perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Parlimen sebagai platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.
Ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan untuk memulihkan semula ekonomi negara.