1 Julai 2021, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar, Kedah – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas terhadap semua pihak yang gagal mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dalam menangani pandemik yang melanda negara demi kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Datuk Kamarulzaman Mamat

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat menegaskan perkara ini ketika dihubungi selepas pemeriksaan mengejut di beberapa buah kilang yang tetap beroperasi pada ketika ini. “Kesejahteraan rakyat negara ini bukan untuk digadaikan oleh mana-mana pihak yang tidak berintegriti. Maruah negara dan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan dalam setiap keadaan,” ujar beliau.

Dr. Khairul Anuar Che Azmi

Pengerusi Perhubungan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) Negeri Pulau Pinang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, menyokong ketegasan pihak berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang berkaitan. Beliau yang juga pengamal undang-undang memuji ketegasan PDRM dan menyarankan semua pihak agar menghormati dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. “Jika undang-undang dan peraturan gagal ditegakkan, maka hal ini boleh membawa bencana dan kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara,” jelas Khairul Anuar.

Mohammad Soib Abdullah

Dalam pada itu, Pengarah Keselamatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Soib Abdullah, menegaskan kepentingan semua pihak untuk menghormati dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. Sebagai penguat kuasa undang-undang, soal integriti tidak boleh dijual beli, apatah lagi apabila melibatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Adzahar Derani

Adzahar Derani, mewakili masyarakat yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur, menyokong penuh iltizam dan ketegasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa kompromi. Adzahar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penguat kuasa undang-undang atas peranan yang dilaksanakan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Beliau turut berterima kasih dan mengalu-alukan peranan ACeIO untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.