1 Julai 2021, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selayang – Penetapan standard Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 yang diumumkan pada hari ini dilaksanakan dengan efisien melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan STPM 2020 dengan dinasihati dan diselia oleh Cambridge Assessment International Education, United Kingdom (UK). Nasihat dan penyeliaan secara berterusan dari Cambridge Assessment International Education, UK adalah bertujuan untuk mengekalkan standard yang telah dilaksanakan semenjak STPM 1982 dan STPM diterima pada peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan dari Cambridge Assessment International Education, UK ini terzahir di belakang sijil STPM. Calon boleh menggunakan sijil STPM untuk memohon ke universiti luar negara. Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) juga akan memastikan peperiksaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) dikelolakan mengikut standard piawaian seperti yang telah dianugerahkan kepada MPM dengan Sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 (QMS01934) yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

MPM akan terus memperkasakan jalinan hubungan dengan International Association for Educational Assessment (IAEA), USA, iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai oleh badan pentaksiran pendidikan yang terkemuka di dunia dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa dalam bidang pentaksiran selaras dengan keahlian MPM sebagai ahli tetap IAEA sejak tahun 1984.

Selain itu, MUET juga telah disejajarkan mengikut Sukatan dan Spesifikasi MUET selaras dengan Common European Framework of Reference (CEFR) mulai MUET Sesi 1 2021. Hal ini bertujuan untuk memperkasakan standard MUET 9 mengikut piawai antarabangsa dan sejajar dengan usaha mengantarabangsakan MUET ke pasaran luar negara. MPM juga berjaya menerobos pasaran MUET di Jakarta dan Lombok, Indonesia pada tahun 2019.

 

Sebagai permulaan, Way Forward MPM dan sebagai tindakan pasca-COVID-19, pada tahun 2020, MPM telah melaksanakan pemeriksaan secara dalam talian (e-marking) terhadap dua mata pelajaran, iaitu Syariah (930) dan Teknologi Maklumat (ICT) (958). MPM merancang untuk melaksanakan pemeriksaan secara dalam talian terhadap semua mata pelajaran pada masa depan berdasarkan ketetapan prosedur yang sedia ada.

Sebagai tambahan kepada rancangan Way Forward MPM juga, dan natijah daripada implikasi COVID-19, pada tahun 2020, MPM buat pertama kalinya telah melaksanakan peperiksaan secara e-Testing, iaitu peperiksaan secara dalam talian sepenuhnya kepada bakal doktor pakar perubatan peperiksaan Medical Specialist Pre-Entrance Examinations (MedEx) 2020. e-Testing yang berikutnya yang bakal dikendalikan oleh MPM ialah peperiksaan Imtihan al-Kafaah Li a-Lughah al-Arabiyyah (IKLA) yang akan dikendalikan oleh MPM bagi pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Melalui e-Testing ini, calon boleh menduduki peperiksaan di tempat masing-masing tanpa perlu bergerak ke pusat peperiksaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.