9 Julai 2021, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 5 Julai 2021 akhirnya menamatkan teka-teki berhubung dengan tarikh persidangan parlimen. Hal ini  susulan daripada Kenyataan Bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga Kenyataan Media Istana Negara pada 29 Jun 2021.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu perlu disambut baik kerana menunjukkan kesediaan Perdana Menteri dan jemaah menteri menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mengakas nasihat di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. Sebelum itu dikhabarkan jemaah menteri menasihati tarikh sidang parlimen pada September atau Oktober 2021.

Meskipun tarikh 26 Julai 2021 hingga 3 Ogos 2021 ditetapkan sebagai Mesyuarat Khas, namun tatacaranya masih berlandaskan Peraturan Mesyuarat Majlis Parlimen. Dari sisi lain, notis mesyuarat sekurang-kurangnya 28 hari boleh dikecualikan kerana panggilan Mesyuarat Khas itu boleh dibuat oleh YDPA di bawah seksyen 14(2)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, iaitu pada tarikh yang sesuai mengikut nasihat Perdana Menteri.

Sidang Parlimen melalui Mesyuarat Khas tidak mensyaratkan Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diprorog, oleh itu tidak akan melibatkan Titah Pembukaan Majlis Parlimen oleh YDPA di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan. Mengikut amalan,  bagi tahun 2021 sepatutnya Penggal Keempat Parlimen ke-14 sudah dipanggil bersidang. Tidak seperti proklamasi darurat sebelum ini, darurat yang diisytiharkan pada 14 Januari 2021 dibuat secara bertempoh hingga 1 Ogos 2021. Hal itu memberi justifikasi mengapa YDPA menitahkan proklamasi, ordinan dan Pelan Pemulihan Negara dibentangkan mengikut kehendak Perkara 150(3) sebelum berakhirnya tempoh darurat.

Tidak dinafikan bahawa kuasa YDPA untuk membuat proklamasi darurat dan menggubal ordinan tanpa membentangkan terlebih dahulu di Parlimen menurut  Fasal (2B) adalah berperlembagaan dan sah. Kedudukan itu terpelihara di bawah Fasal (2C) yang memberi kesan perundangan suatu ordinan Baginda seperti sebuah Akta Parlimen. Namun begitu, masih boleh  ditimbulkan persoalan sama ada ordinan sedemikian perlu memenuhi syarat di bawah Fasal (3) dalam Perkara yang sama sebelum 1 Ogos 2021 kerana darurat pada kali ini diisytiharkan bertempoh, lantaran tempohnya boleh berakhir tanpa memerlukan resolusi Parlimen.

Selain itu, pembentangan ordinan dalam tempoh sebelum 1 Ogos 2021 juga membolehkan Parlimen melaksanakan fungsi di bawah Perkara 150(6), iaitu untuk menimbangkan tadbir urus suatu undang-undang itu sama ada memenuhi  maksud proklamasi darurat. Perkara 150(6) berbunyi, “Tertakluk pada Fasal (6A), tiada peruntukan mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Perkara inj, dan tiada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa dan yang mengisytiharkan bahawa didapati oleh parlimen undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat, boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini”.

Sekiranya ordinan yang diperbuat di bawah Fasal (2B) dibentangkan di Parlimen sebelum tamat tempohnya pada 1 Ogos 2021, pastinya tiada pihak boleh menimbulkan perlindungan yang diberi oleh Fasal (8). Perkara 150(8) melindungi suatu proklamasi dan ordinan darurat yang dibuat atas kepuasan hati YDPA daripada dicabar di Mahkamah. Dalam hal ini, titah YDPA itu tidak boleh diremehkan atas alasan Baginda perlu bertindak mengikut nasihat kerana suatu nasihat eksekutif tidak mutlak kerana hal itu juga tertakluk kepada pematuhan prinsip undang-undang. Apatah lagi dengan komitmen kerajaan pada hari ini yang melaungkan keperluan amalan berintegriti dan tadbir urus yang baik.

Isu yang masih menjadi polemik hingga hari ini seperti sama ada Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan kedapatan dakwaan yang menyentuh integriti dalam pengurusan perolehan boleh dijawab dengan lebih telus sekiranya parlimen bersidang. Rakyat tidak boleh dibiarkan dengan persepsi buruk terhadap “government of the day” dalam keadaan negara sedang menghadapi ancaman penularan COVID-19  dan status kesihatan ekonomi negara pada tahap yang masih membimbangkan.

Jawapan mahupun respons yang diberikan oleh kerajaan terhadap isu semasa masih tidak memuaskan hati para pemimpin politik dan rakyat sehingga ditanggapi kestabilan politik negara tidak berada dalam keadaan  yang baik. Oleh itu, melihat kepada pelbagai polemik dalam negara, maka tidak hairanlah YDPA menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran berteraskan doktrin pemisahan cabang kuasa mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Pendekatan sedemikian amat bertepatan dengan kewajipan Baginda di bawah sumpah jawatan dalam Jadual IV. Secara keseluruhannya, inti pati Sumpah YDPA menetapkan kewajipan Baginda untuk memelihara agama Islam, menegakkan pemerintahan yang adil, keamanan di dalam persekutuan, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Pendidikan yang berterusan kepada anggota pentadbiran di peringkat persekutuan  tentang prerogatif YDPA  berlandaskan sumpah jawatan seperti Jadual IV amat penting di samping kefahaman bahawa mereka merupakan  pelaksana sebahagian besar fungsi kuasa eksekutif YDPA.

Dalam erti kata lain, punca fungsi kuasa pihak eksekutif  di bawah Perkara 39, iaitu daripada YDPA menuntut rasa hormat mereka terhadap pandangan, nasihat dan titah Baginda apatah lagi anggota pentadbiran negara perlu melafazkan sumpah di bawah Jadual VI untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga halnya dengan anggota pentadbiran di peringkat negeri yang perlu menghormati prerogatif Raja-Raja Melayu.

Dari aspek integriti dan  tadbir urus yang baik, doktrin nasihat dan amalannya di sisi Perlembagaan Persekutuan perlu dilihat dalam konteks pemerintahan yang adil, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Peguam Negara mempunyai peranan yang  besar untuk menyampaikan pandangan undang-undang yang lebih bersifat konstruktif bagi maksud pemerkasaan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negara.

Isu punca kuasa pelbagai pelan pemulihan, tatacara kewangan dan keputusan eksekutif  tidak boleh dipandang ringan walaupun dibuat dalam tempoh darurat. Misalnya perbelanjaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN); tiada perbelanjaan daripada kumpulan wang yang disatukan boleh dibuat melainkan mematuhi syarat di bawah Perkara 104.  Andaian perbelanjaan boleh diratifikasikan kemudian melalui undang-undang perbekalan tidak lagi semudah itu boleh dibuat kerana sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri pada hari ini belum dapat dipastikan. Perbelanjaan wang negara perlu dibuat secara berhemat dan mematuhi tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang persekutuan.

Prinsip pemisahan cabang kuasa yang meletakkan kuasa perundangan persekutuan kepada YDPA dan dua buah Majlis Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 44 perlu dipelihara. Hal ini bermaksud pihak eksekutif tidak mempunyai kuasa untuk menggubal ordinan di bawah Perkara 150 sekali gus nasihat di bawah Perkara 40(1) tidak terpakai dalam kuasa penggubalan ordinan Seri Paduka.

Dalam hal penggubalan ordinan, pentafsiran bahawa YDPA perlu mengikut  nasihat pihak eksekutif atau jemaah menteri adalah bercanggah dengan prinsip pemisahan cabang kuasa kerana seperti yang dinyatakan bahawa penggubalan ordinan terletak dalam kuasa perundangan persekutuan. Namun begitu, hal itu tidak bermakna jemaah menteri tidak boleh mengemukakan permintaan dan cadangan kepada YDPA. Pada sisi ini, Peguam Negara perlu berperanan untuk menasihati YDPA agar Baginda dapat menjunjung sumpah jawatan di bawah Jadual IV dengan sempurna, iaitu keluhuran inti pati sumpah tersebut.

Jika sekiranya jemaah menteri tidak berpuas hati dengan ordinan yang dimasyhurkan oleh YDPA maka mereka boleh memanggil parlimen bersidang dan mengemukakan usul untuk membahaskan dan meminda ordinan tersebut termasuklah membatalkannya.

Tatacara di atas menunjukkan amalan tadbir urus yang baik dalam penggubalan serta semak dan imbang suatu ordinan. Jika sekiranya penggubalan ordinan ditafsirkan bahawa YDPA perlu mengikut nasihat jemaah menteri, pastinya boleh mengundang salah guna kuasa kerana hingga sekarang tatacara untuk panggilan sidang parlimen ditafsirkan YDPA perlu mengikut nasihat. Bayangkan jika untuk membuat proklamasi darurat ditafsirkan YDPA perlu mengikut nasihat jemaah menteri, begitu juga menggubal ordinan, memanggil sidang parlimen, hinggakan menentukan keutamaan usul untuk dibahaskan kesemuanya terletak pada kuasa mutlak Perdana Menteri atau jemaah menteri, tidakkah itu boleh mengundang musibah?

Tidak mustahil misalnya boleh berlaku pada suatu hari nanti Perdana Menteri yang menghadapi tuduhan korupsi dan melakukan pelbagai kezaliman menggunakan tafsiran di atas untuk terus berkuasa dengan melumpuhkan parlimen dan mengadakan ordinan bagi melindungi dirinya daripada tindakan undang-undang.   Apakah tafsiran sedemikian mampu menjamin amalan tadbir urus yang baik untuk melindungi ketenteraman di dalam negara dan kesejahteraan rakyat? Kebarangkalian di atas semakin mudah berlaku  jika pihak berkepentingan boleh pula dibeli dengan gelaran dan wang. Lebih-lebih lagi keadaan yang digambarkan di atas juga tidak harmoni dengan prinsip kebertanggungjawaban jemaah menteri kepada parlimen menurut Perkara 43(3).

Rumusannya, sudah pasti tafsiran bahawa YDPA perlu mengikut nasihat Perdana Menteri atau jemaah menteri untuk membuat proklamasi  dan menggubal ordinan darurat secara mutlak bukanlah satu amalan yang baik malah boleh mencemarkan kemuliaan YDPA.  Pada akhirnya, prinsip keluhuran perlembagaan perlu diterjemahkan melalui amalan tadbir urus yang baik pada setiap masa dan di semua peringkat. Setiap tiga cabang kuasa yang berada dalam kerangka perlembagaan mempunyai fungsi masing-masing dan perlu menghormati prerogatif YDPA dan Raja-Raja Melayu. Prerogatif ini tidak boleh ditohmah sebagai mengembalikan kuasa monarki mutlak sebaliknya perlu dilihat sebagai kewajipan Baginda untuk memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Dalam konteks ini pemerintahan raja berperlembagaan perlu difahami.

 

Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (ITKAS).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.