Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTOKYO – Malaysia berjaya menuai sebutir pingat perak pada saingan hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi jaguh berbasikal trek, Dato’ Mohd. Azizulhasni Awang dalam acara Keirin di Velodrom Izu pada hari ini. Persembahan penuh bertenaga, semangat dan kudrat daripada anak jati Dungun, Terengganu yang berusia 33 tahun dan terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman ini bukan sahaja membanggakan negara malah membuka mata dunia dengan keupayaan luar biasanya apabila menjadi satu-satunya pelumba dari Asia yang mampu mencabar pelumba dari negara Eropah dalam acara akhir tersebut.
Kejayaan penuh bermakna itu menyaksikan kontinjen negara melabuhkan tirai Tokyo 2020 dengan meraih satu pingat perak dan satu pingat gangsa yang terdahulu dimenangi oleh beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerusi acara badminton.
Secara keseluruhan, Malaysia mengakhiri temasya Olimpik 2020 pada kedudukan ke-74 carta pungutan pingat dan muncul negara Asia Tenggara ketiga terbaik di belakang Filipina yang berada pada kedudukan ke-50 dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.
Indonesia pula menghuni tangga ke-55 dengan satu emas, satu perak dan tiga gangsa, manakala Thailand berada pada kedudukan ke-59 menerusi satu emas dan satu gangsa.
Amerika Syarikat terus menepati ramalan selaku juara keseluruhan untuk tiga edisi Olimpik berturut-turut apabila pada kali ini memenangi sebanyak 39 pingat emas, 41 perak dan 33 gangsa, diikuti China pada kedudukan kedua (38 emas, 32 perak, 18 gangsa), dan tuan rumah, Jepun dengan penuh bangga berada pada kedudukan ketiga (27 emas, 14 gangsa, 17 gangsa).
Malaysia tentunya akan melakukan pascanilai bagi mengenal pasti atlet yang berpotensi sebagai prospek pingat emas untuk edisi Olimpik seterusnya, iaitu di Paris, Perancis pada tahun 2024. Persediaan seharusnya bermula dengan lebih awal memandangkan atlet pada kali ini hanya mempunyai tempoh tiga tahun sahaja sebelum menghadapi Olimpik Paris 2024 khususnya bagi merealisasikan impian memburu pingat emas pertama Malaysia.