Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangWira dan jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan pesaing terhebat dalam acara Keirin setelah beliau meraih pingat perak Olimpik 2020 dalam acara tersebut di Velodrom Izu pada pagi tadi.

Kejayaan luar biasa yang diraih oleh pelumba berusia 33 tahun ini sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Meskipun impian pingat emas pertama negara tidak mampu digenggam, namun Azizulhasni telah membuktikan bahawa beliau ialah wira negara di pentas Olimpik lebih-lebih lagi apabila Azizulhasni memperbaik pencapaiannya yang sebelum ini meraih pingat gangsa pada Olimpik Rio 2016.
Mengiringi kejayaan itu, rata-rata media sosial dibanjiri dengan rakaman ucapan tahniah dan kata-kata semangat buat wira negara ini dan kontinjen negara yang telah bertarung di pentas Olimpik 2020.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni atas kejayaannya meraih pingat Perak.
“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia. Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Azizulhasni,” kata Istana Negara menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Sementara itu, menerusi hantaran Facebook Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, beliau menyifatkan kejayaan Azizulhasni meraih pingat perak telah menambahkan keceriaan kepada kontinjen negara sebelum temasya sukan berkenaan melabuhkan tirainya pada malam ini.
“Biar apa-apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip pada pentas sukan terbesar ini tentunya memberikan makna yang cukup signifikan buat anda (Azizulhasni) dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan. Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut berasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” ucap Perdana Menteri.
Dalam acara itu, pingat emas dimenangi oleh pelumba Britain, Jason Kenny yang sekali lagi mempertahankan pingat yang dimenanginya pada Olimpik Rio 2016, manakala pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memenangi pingat gangsa.