Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa 3 Oktober 2021 sebagai tarikh baharu pembukaan semula sekolah bagi negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran video dalam laman Facebook rasminya pada malam ini. Menerusi pengumuman tersebut, Dr. Radzi turut menjelaskan bahawa pembukaan sekolah masih tidak dibenarkan bagi negeri dalam Fasa Satu PPN. Bagi negeri dalam Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan, manakala bagi negeri dalam Fasa Tiga, pembukaan penuh persekolahan adalah dibenarkan.

“Ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN). Maka itu, kita tidak boleh menyatakan bahawa 1 September semua sekolah akan dibuka. Keselamatan murid merupakan keutamaan kerajaan. Sasaran dan hasrat kita pada awalnya, iaitu pada 1 September (untuk pembukaan sekolah), namun hal itu tertakluk pada penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN dengan perbincangan bersama-sama KPM,” jelas Dr. Radzi.
Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan semasa negeri, kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai. Tambah beliau lagi, keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah diumumkan.
“Bagi murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pemugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap yang minimum,” katanya ketika mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan pembelajaran apabila sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.
Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan bahawa ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka diputuskan mulai 1 September 2021, iaitu selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah. Walau bagaimanapun, KPM turut menegaskan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN akan diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
Dalam pengumuman yang berbeza, Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa hingga 15 Ogos 2021, sebanyak 102 352 buah peranti di bawah inisiatif Cerdik telah diagihkan kepada murid yang layak. Sementara itu, baki 47 648 buah peranti lagi dijangka akan selesai diagihkan sebelum akhir September 2021.