Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Tepat pukul 3.00 petang, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Ujar Muhyiddin, beliau telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen. Maka itu, pada hari ini saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” ucap Muhyiddin.
Sebagai Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin menjawat jawatan itu selama 17 bulan selepas dilantik pada 1 Mac 2020. Walau bagaimanapun, beliau yang merupakan Presiden Parti Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada tengah hari tadi semasa menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.
Pada akhir perutusannya, Muhyiddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan negara; ahli Jemaah Menteri; warga perkhidmatan awam; isteri dan ahli keluarganya; parti politik yang menyokong kepimpinannya; dan seluruh rakyat Malaysia. Muhyiddin juga mendoakan agar kesejahteraan rakyat dan negara ini dapat terus dipertahankan oleh kepimpinan baharu negara yang akan dilantik kelak.