Oleh Syaza Wardina
23 Ogos 2021, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Ambang Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan sesi kedua dengan penampilan Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian pada pukul 10.00 pagi hari ini. Program yang bertajuk “Patriotisme dan Kenegaraan” ini mengupas pelbagai aspek penting berkaitan dengan patriotisme dan kenegaraan, sesuai dengan situasi semasa yang berlaku di negara ini.

“Dalam usaha menerapkan nilai patriotisme dalam warga negara Malaysia, apa-apa yang penting ialah tahap kefahaman tentang konsep patriotisme itu sendiri”, ujar Profesor Dr. Sivamurugan atau lebih dikenali sebagai Prof. Siva.

Terdapat lima konsep patriotisme yang perlu diberikan penekanan dalam diri setiap individu, iaitu berani menyatakan bahawa kita memperakukan kedaulatan negara; mempertahankan keluhuran perlembagaan; berbangga menjadi warganegara Malaysia; rela berkorban demi negara; dan sentiasa berusaha mempertahankan maruah negara.

Tambah beliau, “50 tahun akan datang, kita ingin melahirkan masyarakat minda kelas pertama yang memiliki ilmu dan diselaputi dengan nilai nasionalisme yang ampuh. Situasi semasa menunjukkan kita mampu melahirkan masyarakat minda kelas pertama ini berikutan peningkatan kadar celik huruf dan literasi pelbagai ilmu di negara kita. Dalam hal ini, kita memerlukan peranan signifikan pelbagai ejen bermula daripada keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, agensi kerajaan, media yang perlu memainkan peranan secara berterusan dan bukan bermusim, serta pemimpin yang menunjukkan teladan yang baik. Apa-apa yang penting, individu sendiri perlu berasa bangga untuk mempertahankan negara.”

Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjunjung ketinggian negara. Akan tetapi, jujurkah kita kepada Malaysia selama ini?

Dalam program yang disiarkan melalui media sosial DBP itu, Prof. Siva berkata, “media sosial pada hari ini sudah diarusperdanakan. Tidak dinafikan, media sosial menyatupadukan pelbagai kelompok dan masyarakat berinteraksi melalui platform ini. Akan tetapi, dalam kebebasan yang ada, kita harus menghormati nilai kenegaraan dan jati diri. Tidak ada kebebasan mutlak kerana kita terikat dengan dua dokumen keramat negara yang perlu sentiasa dijunjung, iaitu Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.”

Tambah beliau, “sepanjang 64 tahun kemerdekaan negara, banyak ujian getir yang telah kita lalui. Namun begitu, kita tidak seharusnya lupa akan kejayaan yang telah ditempa sepanjang tempoh ini dan lihat bagaimana negara menangani pelbagai perkara.”

“Tiga prinsip, iaitu faham, hormat dan terima, harus dijadikan landasan penting untuk kita terus pertahankan dalam konteks perpaduan negara. Selamat menyambut ulang tahun ke-64 kemerdekaan negara kita,” ujar Prof. Siva.

Video Program Ambang Merdeka: Patriotisme dan Kenegaraan boleh ditonton di sini.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!