Diterbitkan pada 30 Ogos 2021, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor – Keprihatinan mahasiswa terhadap isu kenegaraan amat penting bagi melahirkan golongan anak muda yang mempunyai nilai patriotik. Baru-baru ini, Persatuan Identiti Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Hindu UTM telah menganjurkan program diskusi yang bertajuk “Prihatinkah Mahasiswa?” yang dilaksanakan secara dalam talian di media sosial melalui aplikasi Facebook Identiti Mahasiswa UTM.

Sesi perkongsian yang berlangsung selama dua jam ini telah menampilkan tiga orang panel, iaitu Dr. Kamaruzaman Yussof, mantan Pensyarah Akademi Tamadun Islam UTM, Lim Wei Wen, mantan Setiausaha Student Union Task Force UTM, Lydia Karuna Sangeeth, mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Hindu UTM serta moderator, Muhammad Faiz Abd Ghaffar. Antara topik utama yang menjadi isu perbincangan termasuklah sejarah mencapai kemerdekaan, erti patriotisme dalam kalangan anak muda serta pendekatan anak muda menjiwai semangat patriotik.

Pelbagai isu yang melibatkan kemerdekaan dari sudut pandangan anak muda turut dikupas dalam program ini. Para panel juga berdiskusi tentang peranan generasi muda agar cakna terhadap isu semasa memandangkan mereka merupakan masa depan sesebuah negara. Pada sesi terakhir, para peserta telah diberikan peluang untuk mengajukan soalan kepada para panel yang diundang. Maklum balas yang diterima semasa sesi pertanyaan ini secara tidak langsung menunjukkan para pelajar di menara gading juga mempunyai semangat mencintai tanah air yang tinggi. Keprihatinan mahasiswa dalam menyemai semangat patriotik ini dapat memastikan mereka turut menyumbang sebagai kumpulan pemikir dalam pembangunan negara.

Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, setiap individu khususnya anak muda digalakkan agar menzahirkan penghargaan terhadap perjuangan tokoh kemerdekaan. Semangat patriotik yang menebal juga wajar disemai dalam sanubari setiap individu supaya terus mempertahankan martabat negara bangsa.

Unit teknikal bersama-sama para panel dan moderator.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi