Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program ambang merdeka yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan lagi pada 30 Ogos 2021 dengan tajuk “Politik Perjuangan” bersama-sama Yang Berbahagia Datuk Wira Haji Othman Muhamad, mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dan Encik Abdul Ghani Abu selaku moderator dari DBP. Sesi bual bicara yang berlangsung selama satu jam ini diadakan secara dalam talian dan boleh ditonton secara langsung menerusi platform media sosial, iaitu Facebook DBP.
Objektif sesi bual bicara pada kali ini adalah untuk menyuntik semangat menyayangi bumi Malaysia melalui perkongsian kisah politik perjuangan yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu demi mendapatkan kemerdekaan negara. Antaranya termasuklah pengorbanan Siti Rahmah Kassim dan rakyat jelata yang sanggup menggadaikan harta benda seperti barang kemas yang dimiliki untuk mengumpulkan dana bagi membolehkan rundingan kemerdekaan dibuat. Ketulenan semangat perjuangan yang dipamerkan oleh mereka menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin pada ketika itu.
Dalam sesi bual bicara tersebut, Datuk Wira Haji Othman Muhamad menyifatkan Tun Abdul Ghafar Baba sebagai seorang daripada tokoh pejuang politik yang telah banyak menabur jasa kepada negara termasuklah dalam membina perpaduan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi dalam parti politik. Menurutnya, Tun Abdul Ghafar Baba akan bercakap tentang perpaduan dalam satu nada tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India. Dengan kata lain, Tun Abdul Ghafar Baba mahu semua rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai sebagai sebuah masyarakat walaupun berbeza agama dan kepercayaan.

Selain itu, Datuk Wira Haji Othman Muhamad turut menyentuh isu hubungan antara pemimpin dengan rakyat. Beliau menyatakan bahawa:
Pemimpin perlu turun padang melihat keadaan rakyat bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka. Alhamdulillah, beberapa orang menteri yang sudah mengangkat sumpah semula sudah bertemu dengan rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Wira Haji Othman Muhamad juga berpendapat bahawa pemimpin yang mengangkat sumpah semula tersebut bukanlah pemimpin “recycle” sebaliknya mereka diangkat semula kerana menonjolkan kebolehan sebagai seorang pemimpin. Malahan, rakyat seharusnya bersama-sama pemimpin demi merealisasikan agenda pembangunan negara.
Generasi muda kini perlu kembali kepada perjuangan asal datuk moyang kita dahulu dan jangan berhenti meneruskan perjuangan tersebut. Kembalikan nilai asas perjuangan yang menjadikan Malaysia aman dan damai. Ketulenan semangat memperjuangkan kedaulatan negara akan membuahkan hasil atau kemaslahatan kepada masyarakat Malaysia.
Sebagai mengakhiri sesi bual bicara itu, Datuk Wira Haji Othman Muhamad mengingatkan anak muda agar terus memperingati Hari Kebangsaan, di samping memberikan sokongan kepada pihak kerajaan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda. Beliau berharap agar anak muda mencontohi dan terus menghayati perjuangan tokoh kemerdekaan kerana merekalah pencetus untuk mendepani cabaran pada masa akan datang. Selamat Hari Kebangsaan Ke-64!