Oleh SN Fathirah
5 September 2021, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kontinjen Malaysia mampu mengukir senyuman kegembiraan sebaik-baik sahaja Sukan Paralimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirainya secara rasmi pada malam ini.

Kepulangan atlet para negara diiringi dengan kejayaan mengutip tiga pingat emas dan dua pingat perak sekali gus merealisasikan sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Paralimpik Malaysia.

Detik istimewa Malaysia bermula menerusi kejayaan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang meraih pingat emas bagi kategori bawah 72 kilogram (kg) di Tokyo International Forum pada 28 Ogos lalu. Menariknya, kejayaan atlet dari Serian, Sarawak ini diperoleh menerusi catatan baharu Paralimpik selepas Bonnie berjaya mengangkat bebanan seberat 228 kg pada percubaan ketiga. Hasrat untuk memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan catatan 230 kg yang dilakukan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Jun lalu tidak kesampaian selepas Bonnie gagal mengangkat berat bebanan 231 kg.

Bonnie Bunyau Gustin, meraih pingat emas pertama negara.

Namun begitu, kejayaan itu sudah memadai buat Bonnie untuk memastikan emas menjadi milik Malaysia,  jauh meninggalkan pemenang tempat kedua dari Mesir, Mahmoud Attia apabila hanya mampu mengangkat 191 kg dan atlet Great Britain, Micky Yule yang meraih pingat gangsa (182 kg).

Kecemerlangan Bonnie walau bagaimanapun gagal diulangi seorang lagi atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie apabila tewas kepada Enkhbayaryn Sodnompiljee dari Somalia yang meraih pingat emas kategori bawah 107 kg dengan catatan 245 kg. Namun begitu, Yee Khie tidak perlu kecewa kerana dia turut membanggakan Malaysia dengan pingat perak berserta catatan 237 kg setelah tewas kepada Sodnompiljee yang merupakan pemegang rekod dunia serta Paralimpik.

Sehari selepas itu, kem negara dikejutkan dengan kontroversi pingat emas jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) pada aksi akhir di Stadium Olimpik dibatalkan. Kegembiraan seluruh rakyat Malaysia terhenti selepas penganjur temasya memutuskan bahawa penyertaan Ziyad yang pada ketika itu berjaya melakukan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) tidak diiktiraf selepas diletakkan status sebagai DNS (Did Not Start). Hal ini selepas Ukraine membuat protes kerana Ziyad lewat memasuki bilik menunggu dalam tempoh yang dibenarkan sebelum pertandingan itu bermula.

Disebabkan itu, pingat emas Ziyad diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval sekali gus mencipta nama selaku pemegang rekod dunia baharu dengan catatan 17.34 m, manakala rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi meraih perak (17.30 m). Pingat gangsa pula dimenangi atlet Greece, Efstratios Nikolaidis dengan lontaran hanya sejauh 15.93 m.

Kekecewaan itu sedikit banyak terubat selepas Chew Wei Lun mencipta kejutan pingat perak buat kontinjen Malaysia dalam acara Boccia kategori BC1 di Pusat Gimnastik Ariake pada 1 September 2021. Kemaraan Wei Lun hingga ke peringkat akhir sememangnya tidak diduga sebelum dia terpaksa akur apabila tewas kepada juara bertahan yang juga juara dunia dari Great Britain, David Smith dengan keputusan 2-4.

Cheah Liek Hou, memenangi pingat emas kedua negara.

Saingan hari terakhir bagi kontinjen negara pada 4 September lalu berlangsung dengan penuh dramatik dengan Malaysia meletakkan sandaran kepada dua atlet terakhir Malaysia, iaitu pemain badminton para SU5, Cheah Liek Hou dan jaguh lompat jauh para T20, Abdul Latif Romly. Liek Hou terpaksa berhempas pulas dalam tiga set  menentang pemain Taiwan, Fang Jen-yu selepas tewas set pertama 15-21 sebelum bangkit memenangi dua set seterusnya dengan keputusan 21-10 dan 21-16 pada peringkat separuh akhir. Liek Hou yang pernah memenangi 11 kejuaraan dunia sejak tahun 2005 berusaha memastikan kejayaan di pentas akhir menjadi miliknya biarpun berdepan cabaran sengit daripada pilihan utama, Dheva Anrimusthi dari Indonesia menerusi kemenangan 21-17, 21-15.

Kejayaan itu menyaksikan emas bersejarah buat Liek Hou dan Malaysia kerana pentas Paralimpik Tokyo 2020 merupakan kali pertama sukan badminton diperkenalkan sejak temasya berkenaan mula dipertandingkan di Rom, Itali pada tahun 1960.

Pada hari yang sama, tumpuan seterusnya terarah kepada Latif yang merupakan wakil terakhir kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Ternyata Latif tidak mengecewakan apabila berjaya menjelmakan pingat emas ketiga Malaysia menerusi lompatan sejauh 7.45 m sekali gus mempertahankan kejayaan yang dimenanginya sewaktu edisi Paralimpik Rio 2016.

Tiga lompatan pertama atlet dari Perlis itu dengan jarak 7.26 m, 7.45 m dan 7.24 m gagal dicabar oleh 11 peserta negara lain dalam aksi akhir di Stadium Olimpik yang memastikan dia berada pada landasan yang tepat untuk menjuarai saingan lompat jauh T20.

Abdul Latif Romly, memenangi pingat emas ketiga negara.

Begitu pun, kem negara cemas seketika selepas Latif mengalami kecederaan pangkal paha kiri sewaktu lompatan ketiga sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda selepas itu. Mujurlah catatan terbaiknya, iaitu 7.45 m masih gagal dipintas oleh mana-mana peserta dan memilih untuk tidak melakukan lompatan terakhir selepas pencabar terdekatnya di tempat kedua, Athanasios Prodromou dari Greece hanya mampu melompat sejauh 7.17 m. Pencapaian itu sekali gus menyaksikan Latif muncul sebagai atlet Malaysia pertama selaku juara dalam dua temasya berturut-turut dan menanti ganjaran RM1 juta yang diperuntukkan dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi pemenang pingat emas.

Pencapaian di Tokyo sudah tentu melegakan ketua rombongan Malaysia yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kerana kontinjen negara berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan menutup temasya berkenaan dengan Malaysia berada pada kedudukan ke-39 terbaik daripada keseluruhan 86 negara yang bertanding.

Lebih menarik, kejayaan itu turut mengatasi pencapaian kontinjen terdahulu pada Paralimpik Rio 2016 yang pada ketika itu berjaya memenangi tiga pingat emas dan satu gangsa. Pastinya pungutan pingat Malaysia mampu bertambah untuk penganjuran edisi seterusnya di Paris, Perancis pada tahun 2024.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi